26.11.19

Gerakan Sosial Di Borneo Utara: Penelitian Terhadap Barisan Pemuda, 1946-1948


Penulisan ini hanyalah catatan ringkas berkenaan gerakan sosial yang telah dilakukan oleh sebuah pertubuhan di Sabah/Borneo Utara sekitar tahun 1946 – 1948  iaitu Barisan Pemuda North Borneo (BARIP). Perbincangan lebih menjurus kepada kerangka gerakan sosial lantaran, impak daripada tindakan yang telah dilakukan oleh BARIP berupaya ‘menjentik’ pemerintah kolonial British dan melindungi para ahlinya (kebanyakan buruh ladang). Tulisan ringkas ini bertujuan menyatakan secara ringkas konsep gerakan sosial lama serta kegiatan yang telah dilaksanakan oleh BARIP sepanjang penubuhannya.



Memahami perihal Gerakan Sosial

Perbincangan perihal gerakan sosial dimulakan menerusi Rajendra Singh (2010) yang berpendapat, gerakan sosial merupakan suatu perubahan, konflik, tuntutan dan mobilisasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat sehingga membentuk dua orientasi dalam tema pergerakan sosial yakni;

1.    Pergerakan sosial lama yang fokus kepada kaum petani, buruh dan golongan termarjinal.

2.    Pergerakan sosial baharu dipelopori golongan aktivis alam sekitar, tuntutan sub budaya, gerakan identiti, feminisme serta ideologi semasa yang ada.

Mengikut konteks BARIP, penulis merasakan perbincangan lebih sesuai diletakkan dalam cakupan gerakan sosial lama seperti mana pendapat yang dikemukakan oleh Tarrow (1998) yang menyifatkan pergerakan sosial lama sebagai tindakan atau tentangan yang didasari oleh prinsip solidariti sosial terhadap pihak yang ditentang yakni dalam konteks ini adalah kolonial British di Sabah.

 Bagi Gidden (1993) pula, beliau sifatkan pergerakan sosial sebagai tindakan perlawanan yang direncanakan dalam kelompok masyarakat. Dalam hal ini, berlaku pergerakan bersifat ‘top down’ apabila polisi yang direncanakan oleh kolonial British di Sabah tidak dipersetujui oleh kelompok buruh ladang di Jesselton/Kota Kinabalu hingga menyebabkan berlakunya penentangan secara nyata.

 Bagi anggota masyarakat yang sedar perihal bahayanya penjajahan, mereka pastinya berhasrat untuk merdeka. Untuk mencapai matlamat ini, aksi kolektif dibentuk menerusi pelbagai kaedah penting kepada mereka untuk melawan sesebuah institusi kolonial yang berkuasa. Pendapat yang dikemukakan oleh Afiq Nazrin (2018) menyatakan, aksi kolektif dibentuk untuk menghimpun kekuatan menentang pihak kolonial British.

Tambahnya lagi, pergerakan sosial sewaktu zaman penjajahan tidaklah terbatas dalam satu bentuk perlawanan terhadap penguasa, institusi kolonial, mahupun struktur pemerintahan sahaja, tetapi melingkari matlamat untuk mengubah norma masyarakat atau membaiki struktur kelas bawahan, menjalankan pemurnian sosio-budaya dan agama, memperjuangkan identiti kebangsaan dan membentuk kesepaduan sosial.

BARIP sebagai gerakan sosial di Sabah.


Idea asal kepada pertubuhan ini bermula di Brunei sekitar tahun 1930-an hingga tahun 1958. Pada masa ini, polisi daripada kerajaan Brunei adalah menghantar individu yang cemerlang dalam lapangan akademik untuk  melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim.

Antara pemimpin BARIP Brunei yang mendapat peluang sebegini adalah Awang Marshal Awang Maun dan Dato Paduka Awang Basir Awang Mohd Taha. Nama lain yang turut tidak dilupakan adalah Awang Muhammad Haji Mangol, Pengiran Ali Haji Mohd Daud dan H.M Salleh yang merupakan pengasas BARIP. Sosialisasi pelajar dari Brunei bersama pelajar lain daripada seluruh pelosok negeri di Tanah Melayu menyebabkan pemikiran nasionalisme mereka semakin berkembang. Perkara ini seterusnya menyebabkan gerakan sosial semakin digerakkan oleh alumni MPSI di Brunei.

    Sekitar tahun 1930-an, Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) dibentuk dengan tujuan membela dan memperbaiki nasib para guru di negara tersebut secara aktif kepada kelompok masyarakatnya. Meski yang demikian, persatuan ini berhadapan kekangan untuk memperjuangakan nasib masyarakat sekeliling lantaran keahliannya tercakup kepada para guru semata-mata.

Pada masa yang sama, masyarakat di Brunei merasakan pemerintah kolonial British semakin menekan mereka khususnya dalam aspek percukaian hingga menyebabkan ahli PGGMB bertindak lebih agresif agar mendapat sokongan daripada orang awam disamping menyebarkan benih nasionalisme.

Untuk sebar luaskan idea nasionalisme, pertubuhan dan objektif baharu perlu dibentuk agar selari dengan keanggotaannya, justeru pada 12 April 1946, Barisan Pemuda (BARIP) ditubuhkan dengan objektif;

i.    Menjadi forum kepada pemuda-pemudi dan kaum nasionalis tempatan menyuarakan kegelisahan mereka mengenai isu-isu semasa.
ii.    Untuk menyatupadukan tenaga rakyat demi kesatuan nasional.
iii.    Bertindak selaku kumpulan orang Melayu yang ingin kepada perubahan dan kemajuan di bidang sosio-budaya.
iv.    Pelindung kepentingan orang Melayu Brunei.

    Oleh kerana matlamat BARIP berfokus kepada kepentingan orang Melayu dan masyarakat Brunei bawah naungan British, maka pertubuhan ini telah menarik minat ahlinya dalam masa singkat khasnya di Borneo Utara. Faktor geografi yang berhampiran begitu memihak kepada pihak BARIP untuk menyebarkan idea, sekaligus menggerakkan pertubuhan ini di Borneo Utara yang turut berkongsi persamaan nasib selaku jajahan kolonial British seperti masyarakat Brunei. Situasi ini digambarkan oleh Geonawan Mangunkusumo, perasaan kebersamaan diikat oleh persamaan budaya, persamaan nasib dan persamaan cita-cita.

    Dalam konteks Borneo Utara, Barip bertapak di Labuan terlebih dahulu, namun tiada tarikh sebenar dicatatkan. Sejarawan khususnya Sabihah Osman mentafsirkan bahawa kedatangan BARIP ke Labuan sekitar tahun 1947 berasaskan utusan surat pemimpin BARIP dengan pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Labuan yang telah bertapak lebih awal di Labuan.

    Idea BARIP terus berkembang di Jesselton (Kota Kinabalu) bawah pimpinan seorang buruh daripada Indonesia yang dikenali sebagai Mandur Syarif atau Bapak Tua. Beliau dibantu oleh Imam Suhaili, Seruji Yaakub, Zulkifli Apong, Abang Abdul Hadi, Abdul Hamid Mustapha dan Abdul Latif Taha.

Imam Suhaili Yaakob,
dipetik daripada Eko Prayitno Joko, Gerakan Berpolitik Bumiputera Islam Di Sabah, 1938-1963


 BARIP Jesselton begitu berpengaruh serta mendapat sokongan daripada bumiputera Islam tempatan khususnya orang Brunei serta buruh Jawa yang tinggal di Borneo Utara. Pertubuhan ini juga didaftarkan bawah pendaftaran pertubuhan bawah seliaan pihak British menjadikannya sah di sisi undang-undang. Sarim Mustajab berpendapat, kehadiran BARIP di Borneo Utara bermula di Labuan dan Jesselton. Pertubuhan berorientasi politik ini dipimpin oleh Pengiran Ahmad dan seorang pemimpin masyarakat Jawa bernama Soeharto.

Organisasi ini cepat meresap ke hati penduduk tempatan Labuan dan Jesselton lantaran persamaan budaya serta kelompok sasaran mereka adalah komuniti anak peribumi sabah. Mereka turut menjalin kerjasama dengan pertubuhan yang lebih awal bertapak iaitu Persaudaraan Sahabat Pena Malaya cawangan Labuan (PASPAL). Meski yang demikian, beliau tidak pula meletakkan ramalan perihal kehadiran Barip seperti mana Sabihah.

    BARIP Jesselton bergerak aktif untuk timbulkan kesedaran berpolitik dalam kalangan masyarakat sekeliling. Sehingga bulan Julai 1947, jumlah keahliannya mencapai 1043 orang. Kejayaan mengumpulkan jumlah ahli yang ramai dalam tempoh masa singkat membuktikan pertubuhan ini mendapat tempat dalam kalangan bumiputera Islam di Jesselton pada ketika itu. Sepanjang keberadaan BARIP di Sabah, mereka berjaya meluaskan pengaruhnya sehingga ke daerah Papar yang merupakan salah satu penempatan orang Brunei di Sabah.

    Gerakan BARIP Jesselton lebih agresif kerana mencontohi tindakan BARIP Brunei yang menolak untuk bekerjasama dengan pihak kolonial British. Sifat radikal BARIP Brunei diperlihatkan semasa lawatan Pesuruhjaya Tinggi British di Asia Tenggara ke Brunei melalui pembinaan pintu gerbang yang ditulis dengan cogan kata ‘sole right for the sultan and his subjects’ pada bendera Brunei manakala di sebelahnya pula dilukis bendera Union Jack dengan cogan kata ‘restorer of peace and justice’.

    Langkah agresif ini turut dilakukan oleh BARIP Jesselton semasa merayakan mesyuarat agung tahunan pertubuhan tersebut pada 17 Januari 1947. Sebagai tanda protes terhadap penjajahan British di Sabah, ahli BARIP Jesselton menganjurkan perarakan ‘berjalan jauh’ dari Lobou Estet ke Telipok sambil mengibarkan bendera Indonesia dan BARIP. Tindakan ini meskipun dilihat kecil, namun mendapat perhatian daripada pemerintah British sehingga beberapa tindakan drastik dilakukan oleh mereka.

    Oleh kerana tindakan anti-kolonial yang ditunjukkan secara terang-terangan oleh BARIP, kolonial British mula merasakan BARIP Jesselton sebagai ancaman. Tindakan drastik diambil oleh pegawai pemerintah kolonial British dengan menukarkan pegawai kerajaan Melayu/Muslim yang menyokong perjuangan BARIP sama ada menerusi kenaikan pangkat atau pun keperluan berkhidmat di penempatan baharu. Perkara sama turut berlaku di Brunei apabila ramai pemimpin tertingginya dipindahkan secara sistematik.

    Bagi anggota BARIP yang masih berdegil, pihak berkuasa kolonial British bertindak agresif dengan mengekori pergerakan mereka. Kegiatan mereka sentiasa dipantau sehinggalah mengganggu gugat kegiatan sosial yang bercorak Islamiyah seperti kuliah malam dan kenduri-kendara. Hal ini berlaku terhadap Pengiran Mohd Yusof dan Jamil Umar.

Mandur Syarif selaku pemimpin utama BARIP Jesselton juga telah kembali ke Indonesia pada awal tahun 1950-an. Imam Suhaili Yaakub pula berhijrah ke Labuan untuk memulakan perniagaaan kedai runcit. Adiknya pula, Seruji Yaakub beralih arah kepada pergerakan Khairat Jumaat Muslimin (KMJ) yang berpusat di Putatan, (salah satu tempat berhampiran Jesselton).

 Keadaan ini menyebabkan BARIP Jesselton kehilangan jurumudi sehingga menyebabkannya kehilangan arah perjuangan serta kian malap. Pertubuhan ini secara tidak langsung menjadi pasif dan digantikan dengan pertubuhan berorientasikan Agama Islam iaitu Khairat Jumaat Muslimin.

Penutup

Berasaskan penelitian ringkas yang dilakukan, penulis mendapati bahawa tindakan BARIP sama ada di Brunei, Labuan mahupun Jesselton tercakup dalam kerangka gerakan sosial lama yang mementingkan pertentangan langsung dengan pemerintah atas isu emansipasi diri serta mahu bebas daripada belenggu penjajahan.

Perkara ini selari dengan keadaan sezaman, yakni tahun 1946-1947 yang merupakan masa selepas perang dunia ke-2, menyebabkan semangat nasionalisme berkembang mekar daripada segenap pelosok Nusantara tanpa mengira batas sempadan. Kepelbagaian latar belakang ahli BARIP menyebabkan sebaran idea yang dilakukan mereka mudah untuk diterima massa yang terhimpit dek tekanan selepas perang dunia ke-2.

Meskipun jangka hayat pergerakan BARIP tidaklah panjang, tindakan drastik yang dilakukan oleh mereka berupaya menjentik pemerintah kolonial British kerana keahlian BARIP terdiri daripada para buruh estet (kebanyakan) yang sinonim dikaitkan dengan pergerakan Komunis di Tanah Melayu/Malaya.

Justeru tindakan mencantas akar nasionalisme yang disebarkan oleh BARIP dilakukan secara ekstensif sama ada secara halus mahupun kasar. Kemerosotan BARIP bukanlah beerti kemerosotan nasionalisme, sebaliknya disuburkan menerusi gerakan berorientasi Agama Islam.



*Pembaca yang berminat menelaah dengan lebih lanjut perihal BARIP dan Gerakan Sosial sebaiknya mendapatkan penulisan Eko Prayitno Joko et.al bertajuk Gerakan Berpolitik Bumiputera Islam Di Sabah (1938-1963) dan Afiq Nazrin Nor Rizlan, Perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Borneo Utara (PKMBU) dan Kesannya Terhadap Pergerakan Sosial Penduduk Melayu-Islam Di Sabah (1946-1963).

Rujukan

Afiq Nazrin Nur Rizlan. 2019. Perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Borneo Utara (PKMBU) dan Kesannya Terhadap Pergerakan Sosial Penduduk Peribumi Islam. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Eko Prayitno Joko. 2018. Gerakan Berpolitik Bumiputera Islam Di Sabah: 1938-1963. Kota Bharu: Kedai Hitam Putih.

Sabihah Osman. 2008. Pembangunan Politik Sabah: Satu Penelusuran Sejarah. Jurnal Kinabalu: Bil. 14.

Sarim Mustajab. 2004. Kegiatan Persuratan dan Persatuan Sosiobudaya di Sabah dalam Warisan Budaya Sabah: Etnisiti dan masyarakat, Kota Kinabalu: Unit Penerbitan Universiti Malaysia Sabah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...