29.5.20

Strategi Peperangan Sultan Muhammad Al-Fateh (Bahagian 2)






Artikel ini adalah sambungan daripada Strategi Peperangan Sultan Muhammad Al-Fateh (Bahagian 1)



Serangan Sultan Muhammad al-Fateh bermula pada 6 April 1453. Sultan dengan bijak menyusun strategi mengepung Konstantinopel sambil menghalakan meriam diraja Uthmaniah ke arah pintu kota. Tentera Byzantine berusaha keras menghalang tentera darat Uthmaniah daripada merapati pintu-pintu masuk kota mereka.
Namun serangan bertubi-tubi tentera Islam berjaya mematahkan halangan itu, ditambah pula dengan serangan meriam dari pelbagai sudut. Kapal-kapal laut diletakkan sekitar perairan yang mengelilingi Konstatinopel namun mereka tidak berjaya memasuki perairan Tanduk Emas disebabkan kehadiran rantai raksasa yang mengawal pintu masuk.
Bagi mengatasi masalah ini, Sultan Muhammad al-Fateh melakukan beberapa pelan bertindak yang sistematik. Sejarawan menyifatkan Sultan Muhammad al-Fateh sebagai pemimpin yang mempunyai kepakaran taktikal yang lincah dan cepat. Ini bagi memindahkan pelan pertempuran daripada satu pelan ke pelan yang lain dengan pantas. Tekanan yang ditimpakan Byzantine hanya menguatkan lagi keupayaan pemikiran lain daripada yang lain milik Sultan Muhammad al-Fateh.

       Misi pertama

Mengebomkan penjara rantai besi gergasi dengan meriam ciptaan saintis Hungary, Urban. Misi pertama gagal. Penjaga rantai besi berada di dalam bukit batu yang tidak mampu diletupkan meriam Sultan Muhammad Al-Fateh.

Misi kedua

Memutuskan rantai besi dengan teknologi kedua Urban iaitu gergaji. Misi kedua gagal. Rantai besi berada jauh di dalam air. Seramai 30 orang tentera Uthmaniah mati syahid berkubur di dalam lautan. Mereka terbunuh dalam pertempuran dengan tentera Rom yang berjaya mengesan kehadiran mereka dengan loceng pada rantai besi. Ini berlaku apabila usaha tentera Islam menaikkan rantai itu ke darat.
Misi ketiga

Idea pasukan Sultan Muhammad Al-Fateh semakin dahsyat. Kali ini misinya adalah melakukan rempuhan agresif ke atas rantaian gergasi itu dengan tiga buah kapal sekaligus. Kapal dilengkapkan dengan kayu penebat dan besi yang kuat, kapal mampu musnah ataupun bocor. Misi ketiga juga gagal. Kapal –kapal Sultan Muhammad al-Fateh pimpinan Palta Oglu dirempuh dan diserang puluhan kapal perang Rom yang dihantar Pope Urbanus.
Sultan Muhammad Al-Fateh tidak berputus asa. Apabila pelan A iaitu memfokuskan penyelesaian masalah melalui jalan laut menemui jalan buntu, pelan B iaitu keluar dari jalan laut mesti difikirkan. Kajian geografi mengenai kawasan bukit-bakau dari selat Bhosporus ke Tanduk Emas dimanfaatkan. Kekuatan tentera, tenaga haiwan dan jumlah serta berat kapal dihitung secara matematik dengan tepat oleh Sultan Muhammad al-Fateh. Beliau mencipta satu pelan luar biasa mengatasi halangan ini.Ia antara rekod sejarah yang menakjubkan dari segi kreativiti dan kekuatan keinginan pemimpin.
“Daripada 120 kapal gempur Konstatinopel, sebanyak 70 dipilih al-Fateh bagi merentasi pengunungan Tanduk Emas.”

Sebanyak 70 buah kapal laut Usmaniah diluncurkan dari daratan sejauh lima kilometer dari Selat Busporus masuk ke perairan Tanduk Emas. Batang-batang kayu diaturkan dan diminyakkan, kapal-kapal ini dilancarkan dari daratan dan muncul di depan kota Konstatinopel sebelah lautan dengan melepasi rantai besi yang terpasang. Ia memeranjatkan tentera musuh. Sebanyak 400 kapal musuh terbakar dan serangan dari lautan berjalan serentak dengan pengepungan sebelah daratan.
Ini adalah taktik peperangan yang tidak pernah dilakukan mana-mana tentera sebelum ini. Taktik ini diakui sebagai antara taktik peperangan terbaik di dunia oleh para sejarawan Barat sendiri. Pagi 22 April 1452, penduduk Konstatinopel dikejutkan dengan laugan takbir, paluan gendang dan nasyid tentera Uthmaniah.
Gema itu menjadi serangan psikologi bagi menakutkan tentera kota itu. Tentera Konstatinopel seperti tidak percaya kekuatan tentera Sultan Muhammad al-Fateh. Tidak dapat dibayangkan tembok setebal empat lapis, setinggi 25 kaki dan sejauh 160 kaki itu berjaya ditebusi tentera Sultan Muhammad al-Fateh.
Ini hasil kebijaksanaan Sultan Muhammad Al-Fateh yang memberi idea mengangkut kapal-kapal ke atas gunung kemudian diluncurkan semula ke perairan Teluk Tanduk Emas. Kapal-kapal itu kemudiannya membedil dinding pertahanan belakang kota. Kapal-kapal perang tentera Byzantine habis terbakar kerana bedilan meriam Uthmaniah. Pertahanan Byzantine menjadi semakin lemah.
Tiada siapa dapat membayangkan semua itu mampu berlaku hanya pada satu malam sedangkan mereka terpaksa melalui bukti yang begitu tinggi dengan jarak melebihi tiga batu. Sebahagian mereka menyangka tentera Sultan Muhammad Al-Fateh mendapat bantuan jin dan syaitan. Secara logiknya, membawa sebanyak 70 buah kapal layar besar mendaki bukit dalam tempoh beberapa jam adalah perkara mustahil.
Kapal-kapal itu bukannya bergerak di darat, tetapi seakan-akan melayang dan menyusuri bukit bukau sejauh lima kilometer sehingga sampai ke Tanduk Emas dalam waktu yang singkat. Kesemua ini membuktikan gabungan yang hebat bantuan Allah hasil tawakal yang tinggi, geniusnya sang pemimpin serta komitmen luar biasa tentera bagi melaksanakan visi Sultan Muhammad al-Fateh dalam menyerang Konstatinopel.

KETEGASAN DALAM MEMIMPIN

Dalam peristiwa lain pada 18 April 1453, berlaku serangan laut antara kedua-dua belah pihak. Sultan Muhammad Al-Fateh sendiri mengawasi misi itu dari pantai. Beliau menghantar utusan kepada tentera laut yang sedang berperang. Katanya, “Sama ada kamu tawan kapal-kapal itu ataupun kamu tenggelamkan sahaja kesemuanya. Apabila kamu gagal, jangan pulang kepada kami selagi kamu semua masih hidup.”
Ketika itu juga, Sultan Muhammad Al-Fateh menunggang kudanya sehingga ke gigi laut sambil menjerit dengan sekuat hati nama ketua misi itu, Palta Oglu bagi memberikan semangat. Kesungguhan Sultan Muhammad al-Fateh itu, menaikkan semangat tenteranya. Namun tentera Kristian berjaya mematahkan serangan pejuang walaupun mereka bersungguh-sungguh melancarkan serangan demi serangan.
Sulaiman Basha Palta Oglu, ketua tentera laut Turki mengambil tindakan mengundurkan kapal-kapal laut Usmaniah selepas tidak tahan dengan asakan hebat empat buah kapal tentera Genoese utusan Pope. Sultan Muhammad al-Fateh mengambil tindakan tegas memecat beliau dan digantikan dengan penglima Hamzah Pasha. Walaupun Palta Oglu memohon maaf kepada Sultan Muhammad al-Fateh, namun ketegasan beliau dalam menjaga motivasi dan semangat tentera yang lain tidak boleh dikompromi.

MOTIVASI WALI ALLAH


Syeikh Shamsudin yang merupakan wali Allah dan guru yang sangat mengasihi Sultan Muhammad Al-Fateh membangkitkan kembali semangat baginda dengan mengirimnya sepucuk surat. Beliau bagi semangat kepada baginda dengan menyuruhnya untuk meneruskan cubaan baginda, Syeikh Shamsuddin memberitahu bahawa beliau mendapat mimpi daripada Allah S.W.T bahawa Kota Konstantinopel akan ditawan pada bulan Mei.
Ujian yang diberi daripada Allah S.W.T menguji tentera Islam, siapakah yang menjadi tempat penggantungan mereka sebenarnya. Tambahan pula, kehadiran tekanan mengeluarkan potensi yang terbaik di dalam diri kita. Selepas itu semangat Sultan Muhammad Al-Fateh kembali dan beliau terus membuat keputusan yang mengejutkan semua pihak. Sebanyak 72 kapal kecil di tempat armada laut telah diangkut dan dinaikkan ke gunung mengguna kuasa tentera Islam kemudian diluncurkan kembali ke perairan Teluk Golden Horn, semuanya berlaku dalam satu malam sahaja.
Taktik ini dikenali sebagai antara strategi peperangan (warfare strategy) yang terbaik di dunia oleh sejarawan Barat dan beliau digelar ‘Grand Seignur’ iaitu pemimpin agung. Kapal-kapal ini dipastikan sampai menjelang subuh kerana menjelang solat Subuh mereka akan sembahyang secara berjemaah yang Sultan Muhammad Al Fatih sendiri menjadi Imam. Serangan dilakukan dua kali ganda berserta serangan mengejut oleh bedilan-bedilan meriam di tembok belakang kota oleh kapal-kapal yang telah diangkut. Ini memberi impak yang sangat kuat terhadap kerajaan Byzantine kerana tempat itu merupakan bahagian yang paling tidak dijangka.
Melihat keadaan tenteranya yang makin lemah, beliau terus bertitah;
“Wahai tenteraku,aku kini sudah bersedia untuk mati syahid di jalanNya dan sesiapa yang ingin turut sama mati syahid bersamaku,marilah mengikutiku!”
Apabila mendengar titah Baginda yang menyuntikkan semangat, mereka terus menyerbu masuk ke dalam kubu musuh. Sahabat baik Baginda, Hassan Ulubate, yang sering menjadi teman berlawan, semenjak kecil, mengetuai seramai 30 orang tentera yang menyerbu. Lalu, 8 anak panah menusuk badan Hassan tambahan pula bersama ratusan libasan pedang. Namun, Hassan berjaya mendaki ke atas bukit untuk menukarkan bendera Rom ke bendera panji Tentera Islam, dan mati syahid pada akhirnya.
Melihat kepada semangat yang berkobar-kobar dan semangat jihad, mereka masuk ke kubu sambil melauungkan Takbir. Akhirnya, pada tanggal 29 Mei 1453, Kota Konstantinopel berjaya menjadi milik kerajaan Islam dan namanya ditukarkan kepada Istanbul (Islam keseluruhannya).

-
K.A

RUJUKAN

Muhammad Syaari Abdul Rahman. Kuasa Kepimpinan Al-Fateh. 2017. Selangor: PTS Millenia Sdn. Bhd.
Mursi, Muhammad Said. Tokoh-Tokoh Besar Islam Sepanjang Sejarah. 2008. Jakarta: Pustaka Al-Kautsar.
Nor Asmawati Ismail, et. al, ‘Tokoh Tamadun Islam Sultan Muhammad Al-Fateh Dipandang Dari Sudut Personaliti’, dalam Proceeding Of The International Conference on Islamic Civilization And Technology Management, 23-24 November 2019.
Sarkowi, Peranan ‘Muhammad Al-Fatih Dalam Penaklukan Konstantinopel Tahun 1453 Masihi’, Jurnal Criksetra, Vol. 5, Bil. 10, 2016.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...