4.6.20

Kedudukan Perkhidmatan Awam dalam Perlembagaan Persekutuan


1.0        

Kredit: Berita Harian

Menurut Kit Pengenalan Perkhidmatan Awam (2011), peruntukan mengenai perkhidmatan awam dijelaskan di bawah Fasal 1, Perkara 132, Perlembagaan Persekutuan seperti berikut:

Bagi maksud-maksud Perlembagaan ini, perkhidmatan awam ialah:

(i)                Angkatan Tentera;
(ii)              Perkhidmatan Kehakiman Dan Perundangan;
(iii)           Perkhidmatan Awam Am Persekutuan;
(iv)            Pasukan Polis;
(v)              Dimansuhkan;
(vi)            Perkhidmatan Awam Bersama;
(vii)          Perkhidmatan Awam Setiap Satu Negeri; Dan
(viii)       Perkhidmatan Pelajaran.

Dalam konteks tersebut, perkhidmatan awam Persekutuan meliputi perkhidmatan awam am Persekutuan, perkhidmatan pelajaran, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, perkhidmatan polis dan angkatan tentera, tidak termasuk perkhidmatan awam negeri. Manakala, perkhidmatan bersama adalah perkhidmatan di mana pengisian pegawai boleh dibuat oleh Persekutuan tetapi perjawatannya dipunyai oleh negeri yang berkenaan. 

Manakala menurut Profil Perkhidmatan Awam Malaysia (2017) dari segi pemakaian, perkhidmatan Badan­-badan Berkanun dan Penguasa Tempatan juga diterima sebagai termasuk dalam istilah Perkhidmatan Awam. Ini adalah disebabkan dua jenis badan yang berautonomi ini meyerupai Perkhidmatan Awam dalam pelbagai segi disebabkan ianya menerima ­pakai prosedur Perkhidmatan Awam tentang lantikan, terma-­terma dan syarat-­syarat perkhidmatan, serta sistem saraan. Di samping itu, anggota­-anggotanya juga menerima pencen dan faedah-­faedah persaraan yang serupa dengan anggota Perkhidmatan Awam. (Profil Perkhidmatan Awam Malaysia, 2017)

Walau bagaimanapun, dengan pelaksanaan konsep pengasingan di bawah Sistem Saraan Baru yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 1993, terdapat beberapa buah agensi awam yang diasingkan daripada dasar dan prosedur yang seragam tersebut. Agensi­-agensi yang menjalankan aktiviti berbentuk perniagaan dan mempunyai kemampuan kewangan yang kuat, telah dibenarkan menentukan sendiri dasar dan prosedur dalam hal lantikan, terma dan syarat perkhidmatan masing-­masing. 

Oleh itu, kuasa untuk melantik seseorang pegawai dalam perkhidmatan awam Persekutuan dan penentuan syarat-syarat perkhidmatan mereka adalah terletak di bawah bidang kuasa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, manakala bagi perkhidmatan awam bagi sesuatu negeri adalah Raja atau Yang di-Pertua Negeri.

Tambahan pula, peraturan-peraturan mengenai pelantikan, pengesahan dalam perkhidmatan, kenaikan pangkat, saraan, tatatertib dan hal-hal berkaitan dengan persaraan bagi pegawai awam Persekutuan terletak di bawah fungsi Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA). Tertakluk kepada penerimaan, peraturan-peraturan tersebut diterima pakai oleh perkhidmatan-perkhidmatan lain. 

Bagi perkhidmatan awam negeri, pelantikan dibuat oleh suruhanjaya perkhidmatan Negeri masing-masing kecuali Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan yang mana pelantikan pegawainya hanya boleh dilakukan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia. Manakala, bagi perkhidmatan di peringkat pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan, pelantikan dibuat oleh Pihak Berkuasa Melantik (PBM) masing-masing. (Kit Pengenalan Perkhidmatan Awam, 2011).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...