4.6.20

Unit dan Jentera yang ada dalam Jabatan Perkhidmatan Awam


Kredit: Berita Harian    







 

Jentera Pentadbiran Awam


Menurut Kit Pengenalan Perkhidmatan Awam (2011), Perkhidmatan awam merangkumi jentera pentadbiran di peringkat Persekutuan dan Negeri. Ini kerana sektor awam memainkan pelbagai peranan yang unik seperti pemudah cara, penetap rentak, pembangun sosio-ekonomi dan sebagainya (Mahathir, 1994, Muhammad, 1996). Di peringkat Persekutuan, jentera pentadbiran terdiri daripada kementerian dan jabatan serta pihak berkuasa berkanun yang dibahagikan kepada status sebagai agensi pusat, agensi teras dan agensi pelaksana mengikut skop fungsi dan tanggungjawab yang ditetapkan.  Manakala, bagi peringkat negeri pula, jentera pentadbiran adalah terdiri daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan, jabatan-jabatan, pihak berkuasa berkanun dan pihak berkuasa tempatan.  

          Agensi Pusat


Agensi pusat merupakan agensi di peringkat Persekutuan yang bertanggungjawab menggubal dasar kewangan dan ekonomi negara serta pengurusan sumber manusia sektor awam. Selain itu, agensi ini bertanggungjawab untuk memantau dan mengawal selia pelaksanaan dasar-dasar awam yang berkaitan. Agensi pusat tersebut adalah:

i)              Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Ditubuhkan pada 22 Ogos 1934, Jabatan Perkhidmatan Awam atau singkatnya JPA adalah berperanan dalam pengurusan dan pembangunan sumber manusia sektor awam meliputi menggubal dasar pembangunan organisasi dan perkhidmatan; kerjaya dan latihan; saraan dan perhubungan pekerja majikan; pengurusan maklumat sumber manusia; perkhidmatan kaunseling dan pengurusan faedah persaraan.

ii)           Perbendaharaan Malaysia

Ditubuhkan pada tahun 1957, Perbendaharaan Malaysia berperanan mengurus Kumpulan Wang Yang Disatukan serta menyelia, mengawal dan menentukan semua perkara yang berhubung dengan kewangan negara. Selain bertanggungjawab menguruskan dana awam, Perbendaharaan Malaysia berperanan dalam mewujudkan infrastruktur kewangan serta ekonomi yang cekap dan berkesan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara mapan dan seimbang. Perbendaharaan Malaysia juga berperanan merancang dan melaksanakan dasar-dasar kewangan dan belanjawan negara, antaranya menggubal dan melaksanakan dasar fiskal kewangan dan ekonomi; menyediakan belanjawan tahunan negara; mendapatkan pinjaman bagi pihak kerajaan dan memberi pinjaman kepada agensi-agensi kerajaan dan sektor swasta serta memantau pengurusan kewangan dan perolehan agensi kerajaan.

iii)         Unit Perancangan Ekonomi (EPU)

Ditubuhkan pada tahun 1961, EPU berperanan merancang ekonomi dan pembangunan sosial negara. Cabaran bagi EPU adalah  memastikan aspirasi negara dapat dicapai menjelang 2020 melalui usaha meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai lebih tinggi; meningkatkan keupayaan pengetahuan dan inovasi negara serta 'minda kelas pertama'; menangani masalah ketidaksamaan sosio-ekonomi secara membina dan produktif; meningkatkan tahap dan kemapanan kualiti hidup dan memperkukuhkan lagi  keupayaan institusi pelaksanaan negara.

iv)          Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU)

Ditubuhkan pada 25 Mei 1977, MAMPU berperanan sebagai agen perubahan atau pembaharuan dalam aspek pentadbiran dan pengurusan kerajaan. Matlamat MAMPU adalah meningkatkan lagi kualiti, kecekapan dan keberkesanan sistem pentadbiran awam dan penyampaian perkhidmatan awam kepada pemegang saham dan pelanggan.

v)            Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU)

Peranan penyelarasan dan pelaksanaan bermula pada tahun 1969 melalui Pejabat Kemajuan Negeri (PKN) yang diletakkan di bawah Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar (KPNLB).  Hasil daripada idea Perdana Menteri Malaysia yang Ke-2, ICU ditubuhkan pada tahun 1971, dan fungsinya dari semasa ke semasa diperluaskan khususnya dalam urusan pemantauan dan pelaksanaan projek-projek awam. ICU kini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

                Agensi Teras


Agensi teras merupakan agensi kerajaan di peringkat persekutuan yang dikenali sebagai kementerian.  Kementerian diwujudkan dengan fungsi sektoral yang bertanggungjawab menggubal dasar sektoral, merancang, melaksana, memantau dan menilai program-program di bawah pentadbiran seorang Menteri mengikut bidang kuasa dan fungsi sektoral yang ditetapkan.

i)              Agensi Pelaksana Dibawah Kementerian

Menerusi kementerian, telah diperuntukkan agensi-agensi pelaksana iaitu jabatan-jabatan dan pihak berkuasa berkanun Persekutuan untuk melaksanakan dasar-dasar dan program-program sektoral secara spesifik. Contoh agensi-agensi pelaksana mengikut kementerian adalah seperti berikut:

Bil.
Agensi Teras
Agensi Pelaksana
1.
Kementerian Dalam Negeri
- Jabatan Pendaftaran Negara
- Jabatan Imigresen Malaysia
2.
Kementerian Kewangan
- Jabatan Akauntan Malaysia
- Jabatan Kastam Diraja Malaysia
3.
Kementerian Kerja Raya
- Jabatan Kerja Raya
- Lembaga Lebuhraya Malaysia
4.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat
- Jabatan Pembangunan Wanita
- Jabatan Kebajikan Masyarakat
-Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara.

ii)           Pihak Berkuasa Berkanun

Pihak Berkuasa Berkanun merupakan agensi pelaksana yang ditubuhkan mengikut peruntukan suatu Akta Tubuh yang diluluskan di peringkat Parlimen. Pihak berkuasa berkanun boleh juga ditubuhkan di peringkat negeri dengan Enakmen Tubuhnya yang diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri. Penubuhan pihak berkuasa berkanun sama ada di peringkat Persekutuan atau Negeri adalah bertujuan untuk memberi lebih fleksibiliti serta meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam operasinya. Pihak berkuasa berkanun mendapat sumber kuasa berdasarkan peruntukan Akta Tubuh atau Enakmen Tubuh dan mempunyai sebuah badan pengurusan tersendiri. Contoh pihak berkuasa berkanun di peringkat Persekutuan ialah Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA), Lembaga Getah Malaysia (LGM), Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).  Antara pihak berkuasa berkanun di peringkat Negeri ialah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN).

iii)         Pihak berkuasa Tempatan

Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga dikenali sebagai kerajaan tempatan merupakan agensi pelaksana dan penguat kuasa dasar-dasar kerajaan di peringkat daerah atau kawasan yang ditetapkan oleh undang-undang tubuhnya. Contoh PBT adalah Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Perbandaran Pulau Pinang dan Majlis Daerah Tanjong Malim. PBT terletak di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri seperti yang ditetapkan di bawah butiran 4 Senarai Kedua, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.  Walau bagaimanapun, Perkara 76(4) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Parlimen untuk menentukan keseragaman undang-undang dan dasar mengenai kerajaan tempatan.  Perkara 95A Perlembagaan Persekutuan juga memperuntukkan penubuhan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan (MNKT) selaku badan tertinggi yang menggubal dasar dan undang-undang untuk dilaksanakan di peringkat PBT.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...