21.5.20

Sistem Feudalisme Three Kingdom Korea

Perkembangan dan Peranan Sistem Feudalisme dalam Sejarah Korea 

Kredit: Wikipedia

 

Korea merupakan salah satu negara yang terletak di kawasan Asia Timur Laut. Permulaan sejarah Korea dikatakan bermula pada 2 333 Sebelum Masihi, ketika Raja Tan-gun iaitu seorang tokoh legenda yang dilahirkan dari syurga dan seorang wanita dari rumpun yang dihormati telah mendirikan sebuah kerajaan pertama yang bernama Choson.[1] 

       Perkataan Choson bermaksud “Negeri pagi yang tenang”. Sementara sejarah mitos Tan-gun diperdebatkan di antara para sarjana, Korea Kuno dicirikan oleh masyarakat kesukuan yang terdiri daripada daerah-daerah kecil. Mereka berkembang dan jatuh sehingga abad pertama sebelum masihi melibatkan 3 kerajaan iaitu Koguryo (37 Sebelum Masihi – 667 Selepas Masihi), Paekce (18 Sebelum Masihi – 660 Selepas Masihi) dan Silla (57 Sebelum Masihi – 935 Selepas Masihi) telah muncul di semenanjung Korea.[2]

Kredit: SlideShare

 
Korea didiami oleh masyarakat kesukuan atau berpuak-puak yang terdiri daripada daerah-daerah kecil. Pada zaman Koguryo yang terbentuk di sekitar bagian tengah sungai Amnok (Yalu) adalah yang pertama menjadi kerajaan.[3] Selepas zaman Koguryo adalah zaman Paekche. Paekche merupakan kerajaan yang terkuat dan aman. Paekche melakukan perdagangan kuas dengan China melalui perdagangan laut. [4] 

Seterusnya kerajaan Silla, yang secara amnya terlepas daripada pengaruh China. Namun, kerajaan Silla banyak melakukan pembaharuan. Pada pertengahan abad ke – 6, Silla telah mengadakan perjanjian dengan kerajaan Kaya iaitu sebuah kerajaan tetangganya.[5] Hal ini kerana Tang yang ingin menakluki Kogurgo dan Paekche. Peristiwa ini membawa kepada peperangan di antara China dengan Silla sehinggalah pada tahun 676 Silla mampu mengalahkan China.

 
Kredit: Pinterest

Kemenangan kerajaan Silla membawa kepada satu kemenangan. Kerajaan Silla berjaya mengusir kekuatan China keluar daripada tanah Korea. Sementara itu, bekas masyarakat kerajaan Koguryo juga berhasil mengusir kekuatan China dari wilayah Mancuria mahupun dari bagian Utara Semenanjung Korea, kemudian mendirikan kerajaan Parhae pada tahun 698.[6]

 

DEFINISI FEUDALISME

Menurut Azmin Ariffin (2006) sistem feudalisme ialah satu bentuk organisasi politik dan sosial yang mempunyai kelas atau susun lapis tertentu. Manakala menurut Marc Bloch dalam buku yang berjudul Feudal Society, feudalisme ialah masyarakat yang berhierarki yang mempunyai struktur susun lapis tersendiri, kedudukan, kuasa dan status setiap lapisan ditentukan melalui penguasaan ke atas tanah.[7] 

         Hal ini menunjukkan bahawa wujudnya hubungan peribadi diantara Lord atau pemilik tanah dan Vassal atau pemegang tanah berasaskan ikatan perjanjian ataupun kontrak. Ini merupakan satu sistem hubungan timbal balas yang berdasakan perasaan ketaatsetiaan antara dua golongan manusia yang berbeza status.[8]

Namun, feudalisme terbahagi kepada beberapa ciri asas bagi memahami mengenai sistem ini. Antaranya ialah setiap serf iaitu rakyat bawahan biasanya petani perlu memberi sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight atau pahlawan, bangsawan (baron, duke, lord). Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan Raja. 

Dalam peringkat British. Kredit: Krikki's Kingdom of British Lit


Punca kekayaan golongan ini ialah tanah yang dianugerahkan oleh Raja. Ciri yang seterusnya ialah Hubungan bertimbal balas atau vassalage yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut atau vassal kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan atau lord kepada vassal tersebut.[9]
 
Seterusnya, harta feudal kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord  kemudian lord pula akan memberikan tanah kepada vassal bertujuan untuk mengikat persetiaan. Manakala dalam aspek ketenteraan, wujud kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief.[10]

Kredit: TimeRef

Ciri sistem feudal yang terakhir ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassal serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.

PERKEMBANGAN SISTEM FEUDAL DI KOREA

SISTEM FEUDAL KERAJAAN KOGURYO


Koguryo adalah negeri feudal pertama yang diasaskan oleh Raja Tongmyong (Ko Ju Mong) pada 277 SM. Kawasan pemerintahan yang pertama adalah Jolbon tetapi kemudiannya berpindah ke Jian dan Pyongyang pada tahun 427.[11] Koguryo adalah negeri yang paling berkuasa dalam sejarah Korea. Ia telah membangunkan ekonomi dan budaya dan memainkan peranan utama.

Setelah mengalami beberapa siri peperangan menentang tentera China semasa pemerintahan Raja Kogugwon, institusi pemerintahan mula diperkuatkan dengan sistem feudalisme. Sistem feudalisme merupakan sistem yang pada awalnya diamalkan dalam kerajaan Kuguryo. Tindakan ini dilakukan oleh Raja Sosurim yang telah mencontohi sistem feudalisme China dengan menaruh kepercayaan rakyat melalui pembinaan kuil Buddha dan akademik Confusion.[12]

Kemajuan sistem feudal ini telah menjadikan kerajaan tersebut sebagai kerajaan berkubu yang kuat. Dasar perluasan kuasa semasa pemerintahan Raja Kwagggeato telah berjaya menguasai sebanyak 64 buah kubu dan 1 400 buah kampung dan berjaya meluaskan kawasan yang berpengaruh sehingga ke timur Kerajaan Silla. 

Antara artifak kerajaan Koguryo. Kredit: Ancient Histiry Encyclopedia

Waris beliau iaitu Raja Changsu, telah memindahkan ibu kota kerajaan ini ke Lolang dan menamakannya sebagai Pyongyang dan telah menjadikan kerajaan ini sebagai sebuah kerajaan yang aman dan kaya raya selama 70 tahun dengan membenarkan rakyat memiliki 75% kawasan tanah untuk diusahakan oleh rakyat. Disebabkan golongan bangsawan menjaga hubungan baik dengan petani, angkatan tentera yang kuat berjaya muncul di setiap tanah yang dimiliki oleh kerajaan ini dan memaksa kerajaan Paekche berundur ke bahagian selatan.[13]

Kerajaan pusat juga mula mengamalkan dasar berbaik-berbaik dengan kerajaan Silla dan membuat pakatan untuk menyerang kerajaan Paekche. Tetapi disebabkan kerajaan Kuguryo menjadi kuat dan ingin mengancam kerajaan Paekche dan Silla. 

Justeru kerajaan Silla telah memutuskan pakatannya dengan Koguryo dan berpakat dengan Paekche untuk menawan dan menguasai kerajaan Kuguryo. Koguryo mula menjadi lemah disebabkan perebutan tanah dan jawatan dalam kalangan bangsawan menyebabkan para petani ditindas dan hilang kepercayaan kepada pemerintah dan membawa kepada masalah dan peperangan dalaman kerajaan Koguryo.

Namun, dalam kerajaan Koguryo, politiknya dikuasai oleh golongan bangsawan yang bertaraf tinggi, disusuli dengan bangsawan bertaraf rendah dan para petani. Hal ini kerana kerajaan ini dibentuk oleh sejumlah besar bangsawan yang merupakan golongan yang berintektual.[14] Justeru, dalam kerajaan ini juga turut memperkenalkan sistem feudal yang mempunyai dua lapisan ataupun kelas sosial yang berbeza iaitu ialah Yangin dan Cheonim.

SISTEM FEUDAL KERAJAAN PAEKCHE

Paekche merupakan salah satu daripada negeri-negeri feudal yang ditubuhkan pada akhir abad pertama sebelum masihi di negara-negara kecil di kawasan Paekche dengan sistem feudal. Kerajaan Paekche bertapak di Hansong (Kwangju, Wilayah Kyonggi hari ini), tetapi berpindah ke Ungjin (Kongju, South Chungchong Province hari ini) dan Sabi (Puyo, South Chungchong Province hari ini) dalam tahun 538.[15]

Pakche telah membangunkan pertanian seperti beras, barli, kacang, kraftangan daripada metalurgi dan logam pemprosesan, pengangkutan dan perdagangan asing.[16] Barang-barang logam diproses termasuk mahkota emas, anting-anting emas dan gelang emas. Pemprosesan logam tanda ia berada pada tahap yang tinggi. 

Kerajaan Paekche juga mengalami beberapa siri peperangan yang teruk mennetang Wei, Xianbei dan Koguryo. Disebabkan ini, kerajaan ini membina kubu dan muncul sebagai kerajaan yang terkuat dibahagian selatan kerajaan Puyo sebagai pusatnya. Pada tahun 246 masihi, tentera China cuba untuk menyerang sungai Han tetapi serangan tersebut berjaya dikalahkan oleh Raja Koi iaitu pemerintah Paekche yang menjadi musuh utama kepada kerajaan Koguryo. 
Istana lama Paekche. Kredit: Getty Image

Raja Koi telah melakukan beberapa pembaharuan dalam sistem feudal dengan cara mengisytiharkan undang-undang berkaitan bidang bangsawan ke atas kekuasaan tanah, yang mana bangsawan yang mengambil rasuah perlu membayar pampasan tiga kali ganda daripada jumlah rasuah yang diterimanya. Manakala para pembesar pula, jawatan mereka akan dilucutkan dan pembaharuan ini berjaya memecahkan konfederasi antara puak-puak yang menjadi kelemahan utama dalam kerajaan Paekche.[17]

Semasa pemerintahan raja Kun Chogo, beliau telah berjaya meluaskan kawasan tanah jajahan ke wilayah utara dan selatan dengan membunuh raja Kugugwon dan kerajaan ini menjadi kerajaan yang terkuat dengan sistem feudal yang mengekalkan kuasa para bangsawan.[18] 

Ini membuktikan bahawa golongan bangsawan sangat berperanan penting dalam sistem lapisan dan feudal dalam kerajaan Paekche. Dengan keluasan wilayah yang dimiliki, para petani berjaya meningkatkan jumlah pengeluaran makanan dan sesetengah dari tawanan perang dan masyarakat Koguryo telah memberi taat setia kepada mereka kepada kerajaan Paekche.[19]
 
Disebabkan sistem ketenteraan dan kerajaan yang kukuh melalui sistem feudal yang diperkenalkan, pada awal abad ke-5 masihi, kerajaan ini menjalinkan pakatan dengan kerajaan Yamato untuk menyerang kerajaan Silla. Pakatan tersebut gagal dan kerajaan ini mengalami kekalahan yang teruk disebabkan oleh serangan kerajaan Koguryo yang berpakat dengan kerajaan Silla menyebabkan kerajaan ini terpaksa berundur 100 batu ke selatan Kongju dan kehilangan banyak tanah jajahan.

Setelah kerajaan ini pulih, raja Song telah memindahkan pusatnya ke wilayah Puyo dan telah berpakat dengan kerajaan Silla untuk menawan semula Koguryo. Kedua-dua kerajaan tersebut berjaya mengalah Koguryo tetapi kerajaan Silla telah berpaling tadah dan membunuh raja Song, seterusnya menguasi kedua-dua kerajaan tersebut.[20]

SISTEM FEUDAL KERAJAAN SILLA BERSATU

Dalam temph beberapa ratus tahun masihi peperangan berlaku diantara ketiga-tiga kerajaan hanya disebabkan perebutan tanah jajahan, kerajaan Silla berjaya menubuhkan kerajaan Silla Bersatu sejak 668 sehingga 935 Masihi. 

       Penyatuan ini membawa kepada perubahan dalam kerajaan termasuklah peranan raja yang semakin kuat dan besar. Peranan kerajaan pusat (Kyonju) dan para bangsawan semakin kaya raya. Hal ini menyebabkan ramai petani menjadi semakin miskin dan para bangsawan yang ditawan terpaksa melepaskan hak merekan ke atas hamba dan wanita.

Laporan bancian pada abad ke-9 menyatakan bahawa terdapat lebih daripada 175 000 isi rumah di ibu kota serta memperlihatkan kekuasaan dan kekayaan kelas pemerintah yang mencatatkan seorang bangsawan yang memiliki seramai 3000 orang hamba peribadi.

 Semasa zaman Silla juga, pengaruh Buddha telah meresap masuk dalam sistem feudalisme Korea dengan membentuk satu hierarki baru menerusi kewujudan kuil diraja. Para bangsawan telah ditetapkan menjadi kepala kuil yang memerintah kuil-kuil biasa milik kelas bawahan.[21]

Ratu Seondeok, ratu popular dalam kerajaan Silla. Kredit: Wikipedia

 
Sistem feudal yang seterusnya ialah kerajaan pusat mengenakan cukai yang tinggi kepada tawanan. Tiada rekod kadar cukai terus meningkat tetapi ia sekadar mencukupi untuk mengekalkan tentera, armada laut dan gaya hidup mewah golongan bangsawan. 

Seterusnya, sistem perhambaan sangat meluas ketika itu kerana kebanyakan rakyat biasa terpaksa menjual diri mereka untuk menjadi hamba dan satu sistem penghambaan yang tidak seimbang telah wujud yang menjadi golongan bangsawan memiliki terlalu banyak hamba.

Dalam mengawal kalangan bangwasan di kalangan pembesar yang ditawan, satu kaedah yang dilakukan oleh pemerintah kerajaan Silla dengan melaksanakan sistem tebusan diraja.[22] 

Hal ini kerana untuk memastikan pembesar yang berpengaruh tunduk dan tidak membelot terhadap pemerintahan Silla, anak atau waris mereka akan diserahkan kepada kerajaan pusat dan kerajaan pusat akan menjaga tebusan dengan baik dengan cara memberi pendidikan dan dilayan seperti golongan bangsawan yang lain. 

Sekiranya golongan pembesar cuba melakukan pemberontakan, nyawa anak mereka akan dijadikan cagaran dan akan dibunuh di depan mereka.[23] Justeru, sistem feudal ini telah menstabilkan kerajaan Silla bertahan sehingga ke penghujung tahun 900 masihi.

SISTEM FEUDAL DINASTI KORYO

Dinasti Koryo ialah sebuah kerajaan yang telah menggantikan kerajaan Silla. Dinasti Koryo telah mengabungkan tiga kerajanan akhir di bawah pemerintahan Wang Kon sebagai raja pertama dinasti Koryo. Kerajaan ini muncul disebabkan keruntuhan sistem tebusan diraja, seterusnya pemberontakan dalaman yang disebabkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan pembesar Koguryo dan Pakche.

Sistem feudal semasa dinasti Koryo terdiri daripada golongan bangsawan Koryo yang mempunyai pegawai-pegawai awam, pegawai tentera yang berkuasa menjadi pemilik tanah, menggunakan askar sebagai tentera peribadi mereka untuk memungut cukai sewenang-wenang daripada golongan petani.[24]

Sistem feudal yang seterusnya ialah golongan Yangban. Yangban ialah istilah yang pada mulanya merujuk kepada pegawai-pegawai kerajaan pada zaman kerajaan Koryo. Apabila raja memeriksa barisan pegawainya yang bertaraf sarjana berdiri di sebelah kanan, iaitu sebelah timur dan pegawai-pegawai tentera yang terdiri di sebelah kiri. 



Yangban di Korea. Kredit: Getty Images
 
Yangban merujuk kepada dua barisan pegawai yang membentuk benteng utama kerajaan pusat.[25] Manakala pegawai kerajaan yang tinggal di luar bandar dikenali sebagai Hyangri yang membawa makna pegawai kampung.[26]

Golongan Yangban dalam kerajaan Koryo merangkumi pegawai-pegawai kerajaan yang bekerja dalam kerajaan pusat atau bertugas sebagai pegawai daerah di kawasan luar bandar. Golongan Yangban diberi tanah sebagai hak istimewa kerajaan dan keadaan kewangan Yangban dijamin mengikut kedudukan masing-masing.[27]

Golongan yangban dalam kerajaan Koryo merupakan bangsawan iaitu golongan yang mempunyai kedudukan istimewa sebagai keluarga, kakiktangan kerajaan pusat. Pada dasarnya setiap Yangban mesti menjalankan tanggungjawab terhadap negara sama ada bertugas sebagai pegawai atau berkhidmat sebagai Bubyung, iaitu askar, atau menanggung kerahan tentera untuk menyokong Bubyung.[28] 
 

Mereka diberikan kuasa Jikyeok untuk memungut cukai daripda orang yang bertani sebagai hadiah untuk perkhidmatan tugas rasmi. Di antara pelbagai jenis cukai iaitu Yangbanjeon untuk Yangban yang bekerja sebagai pegawai kerajaan pusat, Inriwijeon untuk golongan Hyangi, pegawai luar bandar, Kuninjeon untuk pegawai atasan tentera dan Hanryangjeion untuk askar yang bertugas di kawasan luar bandar.[29]

Mereka yang diberikan Jikyeok ini menjadi Jeonju, iaitu pemilik tanah dan mereka dikehendaki mengenal tanah sendiri dan mengawal petani-petani untuk mengerjakan tanah tersebut. Dengan ini, mereka dapat mempunyai kuasa pemerintahan di kawasan tersebut yang diagih melalai sistem feudal yang berdasarkan kuasa. 

Di samping itu, tanah ini diwariskan kepda keturunan mreka bersama dengan kedudukan khas mereka. Pada penghujung kerajaan Koryo, terdapat banyak aduan daripda golongan petani kerana ramai pemilik tanah ingin memungut cukai daripda tanah yang sama. Masalah ini diselesaikan baik oleh Lee Sungkye yang memansuhkan Sajeon iaitu kawasan tanah bebas cukai pada penghujung kerajaan Koryo.[30]

Pada asalnya, Yangban mengarah rakyat tempatan agar mereka meneroka kawasan tandus memungut cukai daripada rakyat sebagai pemilik tanah apabila mereka mempunyai kuasa politik dalam sesuatu kawasan dengan ini mereka mampu meluaskan tanah pemerintahnya. 

Bagi kerajaan pusat, tanah tidak menyumbang kepada pendapatan kewangan kerajaan dan ia boleh menyebabkan kesukaran dalam pemerintahan akibat daripada perasaan ketidakpuasan hati rakyat. Untuk tujuan itu, pihak kerajaan memberi kuasa pungutan cukai kepada individu-individu tertentu terhadap tanah tersebut.[31]

Sistem hierarki kerajaan koryo mempunyai dua golongan utama iaitu Yangin, Cheonin atau Nobi.[32] Golongan Yangin merangkumi kakitangan kerajaan dan askar kerahan manakala Cheonin atau Nobi menawarkan tenaga kerja dan hasil pengeluaran mereka kepada tuannya. 

Sistem hierarki ini berasal daripada masyarakat kuno China, namun kerajaan Koryo mengimplementasikan sistem ini kepada seluruh rakyat secara paksa dan mengubah kaedahnya mengikut keperluan kerajaan. Dalam sistem hierarki ini, golongan Nobi dianggap sebagai golongan yang dimiliki oleh tuan tanah mereka maka boleh dijual dan dibeli. 

Pada hakikatnya, jumlah golongan ini bertambah pada awal kerajaan Choson dan kedudukan mereka bersifat fleksibel kerana terdapat golongan petani yang sanggup menjadi Nobi dengan rela hatinya kerana dapat mengelakkan kewajipan terhadap negara dan menjalankan kehidupan yang lebih stabil dan ada juga mereka yang melarikan diri untuk memilih tuan mereka sendiri.[33] Kesimpulannya, banyak perubahan dalam sistem feudal pada zaman dinasti Koryo.

SISTEM FEUDAL DINASTI CHOSON

Dinasti choson merupakan kerajaan asimilasi antara bangsa Korea dan Monggol dan diasaskan oleh Yi Songgye dan memindahkan kerajaan pusat ke Hanyang (Seoul) dan masih mengamalkan banyak polisi pentadbiran kerajan Silla. Di era pemerintahan zaman ini, pelbagai pembaharuan dalam sistem feudal yang telah dilakukan seperti memperkenalkan kaedah pentadbiran Choson, Kyongje Yukchon dan memperkenalkan kuasa kepada Kaeguk Kongsin dalam majlis penasihat atau Topyongguisasi.[34]

Raja Sejong merupakan orang yang bertanggungjawab dalam menyusun semula dasar-dasar persempadanan dan hak milik tanah. Beliau telah mendirikan intitusi Chinpyonjong untuk mengkaji undang-undang Kuno dan institusi lama China.[35] Beliau juga telah membuat peta persempadanan kerajan Choson yang diperluaskaan oleh nenek dan ayahanda beliau untuk melindungi para bangsawan dan petani daripada ancaman musuh.

Raja Sejong. Kredit: Wikimedia

Yangban dalam kerajaan Choson mempunyai kedudukan yang berbeza. Hal ini kerana Yangban dalam kerajaan Choson merupakan kumpulan elit dalam pemerintahan, baik di ibu kota mahupun di luar bandar dan mereka membentuk satu kumpulan untuk bersaing dengan kumpulan Hyangri. 

Walaupun bagaimanapun, golongan Yangban dalam kerajaan Choson tidak mempunyai kedudukan atau jawatan dalam institusi kerajaan tetapi ia memberikan kedudukan sosial yang dihargai dalam lapisan masyarakat[36]. Namun, kebanyakan Yangban dalam kerajaan Choson terdiri daripada individu-individu yang pernah memegang jawatan kerajaan pusat tetapi mereka mesti berusaha untuk mengekalkan kedudukan sosial mereka. 

Kedudukan sosiol golongan wanita sangat berkaitan rapat dengan sistem feudal dalam dinasti Choson. Sistem hierarki Choson menggunakan Yangcheoje China yang mengasingkan golongan Yangin dan golongan hamba. Sejak abad ke-17, kedudukan hamba berubah mengikut Jongmobeod iaitu sekiranya si ibu merupakan Yangin, iaitu orang awam, anaknya digolongkan sebagai Yangin supaya di harus menanggung tanggungjawab sebagai rakyat seperti kerahan tentera.

KESIMPULAN

Kesimpulannya, konsep feudalisme dan peranan feudala dalam sejarah kerajaan awal di Korea sangat berbeza dengan perkembangan sistem feudal di eropah. Hal ini disebakan penguasaan tanah oleh golongan bangsawan taraf tinggi terhadap bangsawan taraf rendah dan juga penguasaan tanah oleh golongan bangsawan taraf rendah terhadap golongan petani. 

       Justeru, sistem yang memperkuatkan kerajaan awal Korea ialah sistem ketenteraan dan perluasaan meluaskan tanah jajahan. Ini terbukti dalam setiap kerajaan awal di Korea. Dimana, feudalisme di Korea ianya diperintah oleh dinasti-dinasti yang berbeza iaitu setiap kerajaan yang menang dalam peperangan.

Kemunculan dinasti-dinasti baru ini memberi impak yang positif, buktinya wujud pelbagai pembaharuan dalam pemerintahan, golongan bangwasan, tanah dan golongan petani. Konsep feudalisme telah mewujudkan kelas sosial yang berbeza antara lapisan masyarakat. 

Perbezaan ini paling ketara apabilan bangsawan yang mempunyai kedudukan tinggi akan diberi tanah manakala bangsawan kelas tinggi dan melalui tanah yang diberi telah mewujudkan kelas sosial di Korea. Kejatuhan kerajaan Choson telah menjadi penanda berakhirnya sistem beraja dan feudalisme dalam sejarah pemerintahan kerajaan-kerajaan lama Korea.

 - Mr. Lolento



[1] Pelayanan Inforrmasi Korea, Fakta-Fakta Tentang Korea, Seoul: Percetakan Samhwa Korea, 1995, hlm.15.
[2] Ibid.
[3] Ibid.
[4] Ibid., hlm.18.
[5] Drs. Leo Agung S.M.P., Sejarah Asia Timur, Yogjakarta: Ombak, 2012, Hlm.142.
[6] Ibid.,
[7] Lewis, James and Amadu Sesay, Korea and Globalization: Politics, Economics and Culture. London: Routledge Curzon, 2002, hlm.71.
[8] Ibid.,
[9] Ibid.,
[10] Ibid. hlm.72.
[11] Pettid, Micheal J, Korean Cuisine: An Illustrated History, London: Reaktion Books, 2008, hlm.31.
[12] Ibid.,
[13] Ibid., hlm.36.
[14] Yi, Phong Do and Tae-Young Choe, An Introduction to the History of Acient Korea, Fairbanks, AK: Korean Studies Program, University of Alaska, 1990, hlm.128.
[15] Ibid.,
[16] Ibid, hlm.129.
[17] Michael J Seth, A Concise History of Modern Korea, Rowman: Littlefield Publishers, UK, 2010, hlm.231.
[18] Ibid.,
[19] Phong Do and Tae-Young Choe, An Introduction to the History of Acient Korea, Fairbanks, AK: Korean Studies Program, University of Alaska, 1990, hlm.134.
[20] Ibid.,
[21] Phong Do and Tae-Young Choe, An Introduction to the History of Acient Korea, Fairbanks, AK: Korean Studies Program, University of Alaska, 1990, hlm.134.
[22] Ibid.,
[23] Ibid.,
[24] Pettid, Micheal J, Korean Cuisine: An Illustrated History, London: Reaktion Books, 2008, hlm.31.
[25] Ibid. hlm.41
[26] Kim kuem hyun, Yangban: golongan pemerintahan tradisional korea, Korea: the Academy of Korean studies, 2013, Hlm.7.
[27] Ibid., Hlm.8.
[28] Ibid., Hlm.16.
[29] Kim kuem hyun, Yangban: golongan pemerintahan tradisional korea, Korea: the Academy of Korean studies, 2013, Hlm.7.
[30] Ibid., hlm.19.
[31] Ibid.
[32] Ibid.
[33] Kim kuem hyun, Yangban: golongan pemerintahan tradisional korea, Korea: the Academy of Korean studies, 2013, Hlm.7.
[34] Ibid., 25
[35] Ibid., hlm.26
[36] Ibid., hlm.27.

 Rujukan




Pelayanan Inforrmasi Korea, 1995, Fakta-Fakta Tentang Korea, Seoul: Percetakan Samhwa Korea


Drs. Leo Agung S.M.P., 2012, Sejarah Asia Timur, Yogjakarta: Ombak


Lewis, James and Amadu Sesay, 2002, Korea and Globalization: Politics, Economics and Culture. London: Routledge Curzon


Yi, Phong Do and Tae-Young Choe, 1990, An Introduction to the History of Ancient Korea, Fairbanks, AK: Korean Studies Program, University of Alaska


Michael J Seth, 2010, A Concise History of Modern Korea, Rowman: Littlefield Publishers, UK


Phong Do and Tae-Young Choe, 1990,  An Introduction to the History of Acient Korea, Fairbanks, AK: Korean Studies Program, University of Alaska


Pettid, Micheal J, 2008, Korean Cuisine: An Illustrated History, London: Reaktion Books


Kim Kuem Hyun, 2013, Yangban: golongan pemerintahan tradisional korea, Korea: the Academy of Korean studies

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...