15.4.20

Relevankah gerakan golongan LGBT dan Feminisme di Malaysia?

Kredit: Freepik
 















Malaysia merupakan sebuah negara mempunyai kepelbagaian budaya disebabkan kemajmukan masyarakatnya. Namun begitu, dalam era globalisasi dan kemajuan dunia ini, masyarakat Malaysia mudah terdedah dengan gejala barat yang kadangkalanya jauh terpesong daripada pegangan agama dan fitrah kejadian manusia iaitu gejala LGBT. 

Apakah LGBT? 


Ia merupakan gejala songsang daripada fitrah kejadian manusia dan norma masyarakat ketimuran iaitu lesbian, biseksual, gay dan transgender. Sejarah LGBT dalam gerakan feminism bermula dengan Mary Wollstonecraft (1759-1797) iaitu seorang berbangsa Yahudi yang merupakan antara pelopor feminisme yang dilahirkan di Kota London. 

     Pada asalnya feminisme hanya memperjuangkan hak-hak wanita dari segi politik, ekonomi dan sosial. Kemudiannya diteruskan oleh Betty Frieden (1921-2006) seorang Yahudi yang dilahirkan di Illinois, Amerika Syarikat merupakan presiden pertama Pertubuhan Wanita Kebangsaan (National Organization for Woman). Beliau juga merupakan pejuang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan pelopor Gerakan Androgini ataupun Kesamaratan Gender. 

     Gerakan feminisme muncul dari hakikat masyarakat Barat yang memandang rendah terhadap kedudukan wanita (Muhammad Ariffin, 2012). Melalui satu kajian menunjukkan gerakan feminisme meluaskan lagi konsep kesetaraan gender kepada kelamin (sex) yang merujuk kepada anatomi dan biologi dan juga gender yang merujuk kepada dipengaruhi oleh sosial, budaya, agama dan hukum (Rafidah Hanim Mokhtar, 2015).

LGBT di Malaysia

Di Malaysia, kumpulan-kumpulan ini telah mengunakan gerakan feminisme dan disokong oleh golongan liberalisme bagi menuntut hak mereka diiktiraf oleh masyarakat dunia termasuklah di Malaysia. Sejak akhir-akhir ini, golongan dengan bendera simbol warna pelangi ini telah bertindak agresif dengan mengadakan himpunan dan perarakan yang disokong oleh golongan politik, individu berpengaruh seperti peguam, aktivis, dan terdapat lebih daripada 40 buah NGO yang menyokong LGBT di Malaysia. 
LGBT telah mula masuk ke dalam sosio masyarakat Malaysia sejak sekian lama, sehingga tertubuhnya pelbagai pertubuhan dan organisasi yang menyokong mereka secara tersusun dan terancang (Mahfuzah, 2015). Gerakan ini telah memanipulasi Hak Asasi Manusia (HAM) untuk mempertahan dan membenarkan perbuatan mereka. Tindakan gerakan ini secara umumnya telah menghina kesucian agama Islam sebagai agama rasmi di Malaysia dan perundangan Malaysia, malah secara tidak langsung telah menggugat ketenteraman awam dan keamanan beragama dalam negara ini (Norehan, 2012: 176).   
 Selain itu, golongan ini tanpa segan silu walaupun ditentang hebat oleh masyarakat, mereka tidak berputus asa dalam perjuangan agenda mereka dengan mengadakan program dan festival untuk mempromosikan aktiviti songsang ini atas nama hak asasi manusia. Pada tahun 2013, mereka telah mengadakan festival yang dinamakan Pink Dot Penang telah dianjurkan bagi meraikan golongan LGBT. 
 Ia telah dijalankan secara besar-besaran dengan tujuan menyeru persamaan hak bagi komuniti LGBT supaya hubungan sesama jenis tidak dianggap sesuatu yang negatif. Seterusnya, pada tahun 2018, George Town Festival telah dianjurkan pada bulan Ogos hingga September 2018. Festival ini bertujuan untuk meraikan kebudayaan dan warisan George Town, Pulau Pinang sempena kemerdekaan ke 61(Siti Hajar Jamal, 2018).

              Golongan LGBT mempunyai tujuh agenda utama dalam perjuang mereka, iaitu tiada diskriminasi dalam sukan, hak kebebasan untuk berkahwin sejenis dan tukar jantina, tiada diskriminasi di tempat kerja, ketiadaan tandas awam terbuka di tempat awam, LGBT tidak perlu dipulihkan, kemudahan perumahan, dan kemudahan mengambil anak angkat. 

Di Malaysia, LGBT juga berselindung dalam gerakan-gerakan atau perhimpunan aman seperti Bersih 4.0 dengan mengibarkan bendera pelangi. Menurut aktivis LGBT, Chong Yee Shan bahawa mereka juga mahu semua orang pada perhimpunan ini sedar bahawa komuniti LGBT ada di sini seperti kamu dan bersama kamu (Victoria Brown, 30 Ogos 2015).

Kewujudan fenomena ini mencetuskan kontroversi terutamanya apabila ia benar-benar menyimpang daripada ajaran agama Islam yang sebenar di mana Malaysia merupakan salah sebuah negara yang berpegang kepada ajaran Islam sebagai agama rasmi (Suhaya, 2013: 113). LGBT dari sudut perspektif Islam merupakan satu yang dilaknat dan dicegah. Tingkah laku songsang ini telah dirakam di dalam Al-Quran di zaman Nabi Luth AS iaitu kaum Sadom yang melakukan hubungan sejenis. Ayat dibawah menunjukkan larangan Allah S.W.T kepada hambanya dalam melakukan hubungan sejenis.

وَلُوطًا إِذْ قَالَ لِقَوْمِهِ أَتَأْتُونَ الْفَاحِشَةَ مَا سَبَقَكُم بِهَا مِنْ أَحَدٍ مِّنَ الْعَالَمِينَ ﴿٨٠﴾ إِنَّكُمْ لَتَأْتُونَ الرِّجَالَ شَهْوَةً مِّن دُونِ النِّسَاءِ ۚ بَلْ أَنتُمْ قَوْمٌ مُّسْرِفُونَ ﴿٨١﴾ وَمَا كَانَ جَوَابَ قَوْمِهِ إِلَّا أَن قَالُوا أَخْرِجُوهُم مِّن قَرْيَتِكُمْ ۖ إِنَّهُمْ أُنَاسٌ يَتَطَهَّرُونَ ﴿٨٢﴾ فَأَنجَيْنَاهُ وَأَهْلَهُ إِلَّا امْرَأَتَهُ كَانَتْ مِنَ الْغَابِرِينَ ﴿٨٣﴾ وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَرًا ۖ فَانظُرْ كَيْفَ كَانَ عَاقِبَةُ الْمُجْرِمِينَ

Maksudnya: Dan Nabi Lut juga (Kami utuskan). Ingatlah ketika ia berkata kepada kaumnya: "Patutkah kamu melakukan perbuatan yang keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun dari penduduk alam ini sebelum kamu? "Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas". Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata: "Usirlah mereka (Nabi Lut dan pengikut-pengikutnya yang taat) dari bandar kamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang (mendakwa) mensucikan diri". Maka Kami selamatkan dia dan keluarganya (serta pengikut-pengikutnya) melainkan isterinya, adalah ia dari orang-orang yang dibinasakan. Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan.
Surah al-A'raf (80-84)

Kita juga akan melihat dari pandangan agama lain mengenai LGBT. Dalam bahagian Leviticus 18-20, telah disebut berulangkali mengenai larangan mendatangi sesama sejenis seperti mendatangi isteri. Menurut Al-Kitab dalam Perjanjian Lama mengenai larangan melakukan hubungan sejenis jelas menunjutkan bahawa ianya telah dicegah sama seperti Agama Islam (Puji Astuti, 27 May 2019). Lihat ayat berikut menurut al-kitab:

"Janganlah engkau tidur dengan laki-laki secara orang bersetubuh dengan perempuan, karena itu suatu kekejian."
Imamat 18:22

Selain itu dalam kitab Hindu dan Buddha agak longgar mengenai pendirian larangan LGBT atau hubungan sejenis. Namun begitu menurut Kitab Manusmrti dalam Agama Hindu mengambarkan hubungan antara lelaki merupakan sesuatu yang tidak bersifat semulajadi. Selain itu dalam agama Buddha pula melarang hubungan sejenis namun menurut tokoh Agama Buddha, Dalai Lama (1997) bahawa merasakan homoseksualiti itu patut dijadikan normal tetapi beliau menegaskan bahawa penganut Agama Buddha tidak sama sekali mengiktiraf hubungan sejenis (Namri Sidek, 14 Jun 2019).

Daripada pandangan-pandangan agama di atas, jelas menunjukkan bahawa LGBT dan hubungan sejenis tidak dibenarkan dan tidak diiktiraf sama sekali dalam mana-mana agama kerana ia merupakan sesuatu diluar norma masyarakat dan agama. 

Seharusnya manusia perlu kembali kepada fitrah kejadian manusia yang telah dituntut dalam agama. Jika LGBT dikatakan satu kemajuan, sedarlah bahawa sejarah golongan sejenis atau homoseksual telah wujud ribuan tahun silam. Itu satu kemajuan? Meninggalkan agama tidak menjamin anda seorang yang maju.

        Kesimpulannya, LGBT merupakan satu pelakuan yang terkutuk di mata masyarakat, agama dan telah lari daripada fitrah asal kejadian manusia. Gerakan LGBT yang berselindung dibelakang gerakan feminisme perlu dikekang daripada terus menjadi barah dalam masyarakat di negara kita. 

     Semua peringkat masyarakat perlu memainkan peranan bagi memastikan gerakan golongan ini disekat dan tidak diiktiraf sebagai golongan yang normal dan bebas. Pihak kerajaan perlu berpendirian tegas dalam mengekang gerakan ini dan bukannya memberikan hak kebebasan atau menyokong golongan ini. 

 - Fahmi Amiruddin (Sarjana Sosiologi UMS dan UPSI)
 

Rujukan

Al-Quran. Surah al’araf ayat 80-84.

Mahfuzah Mohamad. (2015). “Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender: Perspektif Undangundang Jenayah Syariah,” Jurnal Undang-undang dan Masyarakat, no.19 29-36.

Muhammad Ariffin bin Ismail. (2012). Gerakan Feminismee, Persamaan Gender dan pemahaman Agama. Panel Jawatankuasa Pemikir Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Norihan Zakaria. (2012). “Fenomena LGBT Di Malaysia”, Jurnal ILIM, No 5, 176.

Rafidah Hanim Mokhtar. (2015). Sejarah gerakan feminismea. Dlm Norbahiah Misran, Norsaleha Mohd Salleh, Zakiah Abd. Rahman dan Suriani Sudi. 2015. Wanita dan cabaran globalisasi. Putrajaya: Konwanis Consultansy.

Siti Hajar Jamal. (2018). Memahami Konsep Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (Lgbt) Dari Konteks Sosial. Prosiding Seminar Kebangsaan Majlis Dekan Pendidikan Universiti Awam 2018. Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia.

Namri Sidek. (14 Jun 2019). Homoseksualiti Daripada Pandangan Agama Selain Islam. https://iluminasi.com/bm/.

 Puji Astuti. (27 May 2019). 8 Ayat Alkitab Yang Menentang LGBT. https://www.jawaban.com/read/article/id/2019/05/27/92/190527135339.

Victoria Brown. (30 Ogos 2015). Aktivis LGBT Sertai Bersih. MStar. https://www.mstar.com.my/lokal/semasa/2015/08/30/.

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...