16.9.19

16 September dari Perspektif Borneo

16 SEPTEMBER 1963 - 2019

Sempena tarikh kemerdekaan kita yang diraikan dengan gilang-gemilang, diberkati dan juga sebagai mercu kepada terbentuknya persekutuan Malaysia, sudah tentu kita sebagai generasi muda tahu bahawa tarikh keramat ini merupakan hasil paling asbtrak terhadap keamanan, perpaduan, dan pencapaian negara hasil dari pencantuman Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, & Sarawak.



Melihat kepada masa lalu iaitu 58 tahun yang lepas, Tunku Abdul Rahman telah mencadangkan kepada Kerajaan British mengenai pembentukan Persekutuan Malaysia dengan menyerapkan Sabah dan Sarawak sebagai syarat utama kepada Malaya menerima penyertaan Singapura yang mengalami krisis dalaman akibat tekanan oleh komunis.

Alasan Malaya ketika itu sangat jelas iaitu untuk mengekalkan keseimbangan 'paramountcy' yang disebabkan oleh populasi besar kaum Cina yang berpendidikan dan kuasa pemerintahan autonomi Singapura yang menjadi ancaman terbesar, serta mampu menggugat hak dan keseimbangan kuasa dalam pentadbiran Malaya.

Namun, proses pembentukan ini bukanlah mudah kerana pada peringkat dalaman ketika itu berlakunya krisis penentangan dari pelbagai sudut & perspektif. Menurut Datuk Mohamed Sopiee, Tunku sendiri tidak bersetuju pada mulanya untuk menyerapkan wilayah Borneo ke dalam Malaysia kerana bimbang akan potensi dan risikonya. Malahan, pemimpin dari Kelantan dan Terengganu juga tidak menyokong pembentukan ini.

Manakala bagi wilayah Borneo pula, keputusan untuk menyertai Malaysia dilakukan kerana secara umumnya mereka tidak mempunyai pilihan, dan dipengaruhi oleh dua sebab utama.

1. Iaitu pengunduran British dari setiap tanah jajahan atas desakan PBB yang bersifat anti-kolonial.
2. Iaitu untuk mengelak dari impian presiden Sukarno mewujudkan Indonesia Raya dengan memperlihatkan minatnya ke atas wilayah Borneo.

Maka, atas faktor keselamatan dan pengekalan kepentingan British ke atas Borneo, Britain tidak mempunyai pilihan lain selain dari menginginkan Borneo menyertai Malaysia. Berbeza dengan kerajaan Britain khususnya di Sabah, Gabenor terakhir British iaitu Sir William Goode telah memberikan peluang kepada rakyat Sabah untuk memilih sama ada untuk memerintah secara sendiri atau menyertai Malaysia. 

Sir William Goode. Kredit: National Potrait Gallery

Beliau juga meminta agar rakyat Sabah dapat menetapkan pendirian mereka sebelum bermulanya tinjauan dari suruhanjaya Cobbold. Pendapat beliau tersebut merupakan ideanya sendiri & beliau lebih menginginkan Sabah merdeka sebagai sebuah negara sebagaimana apa yangg cuba dicapai oleh Sir Charles Vyner Brooke terhadap kemerdekaan Sarawak melalui Perlembagaan 1941 yang gagal ekoran serangan Jepun.

Malahan, jentera pentadbiran Sir William di Sabah juga menunjukkan penentangan mereka terhadap pembentukan Malaysia dengan menyalurkan 'background material' kepada Dato Donald Stephen yang menunjukkan bahawa Sabah tidak akan memperoleh sebarang keuntungan ekonomi mahupun kelebihan kewangan dengan menyertai Malaysia.

Tidak lama kemudian, Dato Stephen telah membuat pakatan dengan pengerusi Parti Rakyat Brunei iaitu A.M. Azahari dan juga dengan pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak iaitu Ong Kee Hui dengan membentuk satu pakatan untuk menentang pembentukan Malaysia, & sebarang perancangan melalui pengumuman Tunku adalah ditolak serta merta.

Pengaruh Dato Stephen ketika itu cukup menggugat Tunku kerana sebarang kesilapan dari Malaya akan mempengaruhi keputusan Borneo menyertai Malaysia. Keadaan menjadi semakin teruk apabila beliau membuat kenyataan di The New Straits Times dengan menuduh Tunku menggunakan populasi di Borneo sebagai jalan penyelesaian bagi masalah Singapura. Beliau juga telah membuat kenyataan bahawa:

"We (i.e. the United Front) are against joining Malaysia as individual states, and want the Borneo Territories to get together, so that when we talk with Malaya, it will be as equals and not vassals... and if we join Malaya now? the people who will come and take most of the top jobs will be ... Malayan... the new expatriates..."

Pada 21 Julai 1961, pendirian beliau mengenai isu Malaysia telah berubah semasa beliau menghadiri 'Commonwealth Parliamentary Association Conference' yang berlangsung di Singapura. Kehadiran Lee Kuan Yew merupakan faktor utama kepada perubahan pendirian beliau. Setelah mendengar pendapat & termakan pujukan Lee Kuan Yew, beliau yang merupakan satu-satunya delegasi dari Borneo telah bersetuju dengan cadangan pembentukan Malaysia. Pengkhabaran baik itu sangat mengembirakan Lee Kuan Yew sehinggakan beliau menawarkan 10 biasiswa kepada pelajar Borneo untuk menuntut di Universiti Singapura.

Tidak lama kemudian, Dato Stephen telah membentuk Jawatankuasa Perundingan Solidariti Malaysia yang membincangkan mengenai kedudukan & isu bumiputera menerusi Jawatankuasa Antara Kerajaan, yang kemudiannya diperjelaskan melalui 18 & 20 perkara sebelum dipinda semula ke dalam Perlembagaan Persekutuan 1963. Kesepakatan ini hanya berjaya dicapai apabila Suruhanjaya Cobbold telah membuat laporan yang sangat memuaskan mengenai pandangan rakyat Sabah & Sarawak terhadap pembentukan Malaysia. 
 
Namun, proses untuk Sabah & Sarawak mendapatkan kemerdekaan tidaklah semudah yang diinginkan. Hal ini disebabkan oleh tuntutan Presiden Macapagal yang menuntut Sabah sebagai sebahagian dari wilayahnya manakala Presiden Sukarno pula menuduh bahawa pembentukan Malaysia adalah konspirasi Tunku dengan British untuk merealisasikan dasar neokolonisasi baharu di Asia Tenggara, terutamanya melalui tindakan menjemput Sabah & Sarawak menyertai Malaysia.

Situasi ini telah membawa kepada persidangan MAPHILINDO yang berlangsung di Manila sebanyak 3 kali, yang bertujuan untuk menggagalkan kemerdekaan Persekutuan Malaysia pada 31 Ogos 1963 dengan melibatkan pasukan pemerhati dari PBB. Tarikh kemerdekaan pula terpaksa ditunda kepada 16 September 1963 ekoran dari forum PBB tersebut yang berlangsung di New York. 

Dirakam detik tersebut dalam bentuk setem. Kredit: Colnet

Keputusan PBB yang memihak kepada Malaysia menyebabkan Sukarno melancarkan polisi konfrontasinya menentang Malaysia sehingga kemuncaknya pada tahun 1965, iaitu selepas beliau digulingkan oleh Presiden Suharto. Begitu juga dengan tuntutan Filipina ke atas Sabah yang semakin lemah ekoran kekalahan Macapagal dlm pilihanraya menentang presiden Marcos.

Walau bagaimanapun, Sarawak telah mengistiharkan kemerdekaan mereka jauh lebih awal iaitu pada 22 Julai 1963, iaitu pada hari pembentukan kabinet Sarawak yang memberikan kebebasan kuasa autonomi kepada kerajaan negeri untuk memerintah daripada sebarang pengaruh kuasa British, walaupun British tetap berkeras dengan tarikh 16 September 1963.

Begitu juga dengan negeri Sabah yang mengisytiharkan kemerdekaannya pada 31 Ogos 1963 yang telah disaksikan sendiri oleh Tun Abdul Razak, kemudiannya telah mengundang kemarahan Tunku di Kuala Lumpur. Tetapi, pengisytiharan kemerdekaan Persekutuan Malaysia tetap dijalankan pada tarikh 16 September 1963 seperti yang telah diputuskan oleh Setiausaha Agung PBB, yang mana kemerdekaan tersebut mewakili 4 entiti utama iaitu Malaya, Singapura, Sabah & Sarawak sehinggalah Singapura kemudiannya dipisahkan dari Malaysia pada bulan Ogos 1965. 

Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia. Kredit: Arkib Negara


Kesimpulannya, proses untuk negara kita mendapatkan kemerdekaan bukannya sesuatu perkara yang mudah untuk kita sebagai generasi muda meremehkan tarikh bertuah negara kita. Tidak kira kemerdekaan Malaya 31 Ogos 1957 ataupun Hari Pembentukan Malaysia 16 September 1963, kedua-dua tarikh ini merupakan tarikh yang cukup bermakna bagi kita untuk memelihara keamanan, kedaulatan dan kebebasan kita sebagai rakyat Malaysia dari segala jenis ancaman dan musibah.

Semoga semua perjuangan generasi terdahulu sentiasa berkekalan agar anak cucu kita sentiasa dapat merasai nikmat kebebasan dan erti kemerdekaan. Merdeka Sabah dan Sarawak, merdeka Persekutuan Malaysia, selamanya tanah air kita merdeka.

Selamat menyambut Hari Malaysia, 16 September 2019.

- Mr. Lolento

Rujukan:

Anwar Sullivan ( A Commemorative History of Sabah 1881-1981)
Jeffery G. Kitingan ( Sabah: 25 Years Later 1963-1988)
Herman Lupig ( The Formation of Malaysia Revisited)
Peter Eaton ( Borneo & Beyonds - Journey Through a Changing World)
No. 8029: (Philippines, Federation of Malaya, and Indonesia) PDF

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...