Banyak sebab yang sudahpun menerima teori ini sebagai teori kedatangan manusia dan bertanggungjawab dalam naratif penyebaran manusia ke seluruh dunia. Jom baca!
Menurut Jonathan H. Turner, Teori adalah sebuah proses pengembangan idea-idea yang membantu kita menjelaskan mengapa dan bagaimana sesuatu peristiwa terjadi. Teori sosial pula merupakan gabungan atau kumpulan dari konsep-konsep sosial yang telah diuji kebenarannya secara umum, iaitu secara objektif dan menggunakan pendekatan metodologi.
Teori Out of Africa merupakan satu pendekatan yang menerangkan secara lanjut mengenai proses migrasi manusia ke seluruh pelusuk dunia. Dengan menggunakan premis ‘single origin’, teori ini juga menjelaskan mengenai perubahan tahap jenis manusia mengikut tempoh migrasi mereka dari Africa ke seluruh dunia yang berlaku sejak sejuta dan dua juta tahun dahulu. Oleh itu, tajuk ini secara umumnya akan membahaskan mengenai proses migrasi manusia Africa ke seluruh dunia, serta menyatakan perbahasan mengenai kesahihannya.
Gagasan Teori ‘Out Of Africa’.
Asalnya, teori ini adalah bertujuan untuk menggambarkan asal usul dan proses migrasi manusia moden iaitu homo sapien. Teori ini juga dikenali sebagai recent single origin hypothesis, replacement hypothesis, dan juga recent african origin. Hipotesis tersebut membuktikan bahawa migrasi dan penyebaran manusia yang berlaku sejak berjuta tahun dahulu adalah berasal dari manusia keturunan Africa, dengan menggunakan bukti DNA mitokondria pada manusia moden.
Penemuan ini adalah rentetan dari penyataan bahawa manusia memiliki asal usul yang tunggal atau monogenesis, yang dibahaskan oleh Charles Darwin, dan kemudiaannya cuba dibuktikan secara saintifik melalui DNA oleh James Watson. Melalui penyataan ini, manusia yang keluar bermigrasi dari Africa adalah melalui beberapa gelombang iaitu gelombang homo habilis, gelombang homo erectus, dan yang terakhir adalah gelombang homo sapien.
Peta penyebaran manusia dari satu pusat - Afrika. Kredit: Research Gate |
Melalui proses migrasi itu, manusia dari Africa akan tinggal menetap di setiap benua yang mereka lalui, sama ada membentuk penempatan dan berasimilasi dengan manusia awal kawasan tersebut, ataupun meneruskan migrasi mereka sehingga ke benua Asia. Menurut Underhill (2000), 1000 orang individu telah diuji dengan menganalisis pada NRY untuk mengesan evolusi manusia moden yang timbul dari Africa iaitu penanda M168, M89 dan M130.
Menerusi kajian itu juga, sebanyak 12 127 lelaki dari 163 jenis populasi manusia di Asia adalah mewarisi salah satu daripada penanda tersebut.Oleh itu, kewujudan teori ini adalah hasil daripada pelbagai ujian biologi dan penemuan arkeologi yang akan menjelaskan mengenai bagaimana berlakunya proses migrasi terawal manusia moden, iaitu homo sapien.
Proses Migrasi ‘Theory Out Of Africa’.
a) Teori migrasi Homo Habilis
Terdapat beberapa teori yang menyatakan mengenai homonid terawal iaitu homo habilis telah meninggalkan Africa sejak dua juta tahun dahulu atau dijangkakan jauh lebih awal. Mereka dikenali sebagai ‘great ape’ dan ‘handy man’ yang merupakan pencetus kepada penciptaan peralatan batu. Spesis ini telah melakukan migrasi menuju ke Asia melalui jalan darat.
Homo Habilis. Kredit: Don's Maps |
Mereka telah berevolusi sepanjang perjalanan tersebut kepada homo erectus sekitar 1.9 juta tahun dahulu, kemudiannya membiak di Eropah dan kembali semula ke Afrika. Bukti-bukti tersebut adalah berdasarkan kepada penemuan spesimen homo erectus di Asia adalah jauh lebih tua daripada yang ditemui di Africa. Tetapi, tidak ada sebarang peralatan batu homo erectus yang ditemui di Asia seperti yang saintis temui di Africa.
Saintis menyatakan sebab tersebut berlaku bahawa homo erectus Asia lebih cenderung menggunakan peralatan bambu selain dari batu, yang mereput dan tidak meninggalkan sebarang bukti ketika di Asia. Namun, ramai saintis yang mendakwa bahawa kemunculan homo erectus di Afrika bukan berasal dari Asia. Hal ini berikutan pertembungan homo erectus dengan homo ergaster adalah wujud dalam kerangka zaman yang sama di Africa.
b) Teori Migrasi Homo Erectus
Kemunculan pertama spesis ini dijangkakan sekitar 1.8 juta tahun yang lalu di Africa, kemudiannya keluar bermigrasi sekitar 800, 000 tahun yang lalu. Laluan migrasi spesis ini adalah menuju ke Asia, namun atas beberapa faktor tertentu seperti perubahan iklim dan persekitaran, sebahagian besarnya menetap di Eropah. Namun, pendapat tersebut disangkal apabila penemuan fosil di Georgia, China dan Indonesia adalah jauh lebih awal iaitu sekitar 1.7 juta sehingga 1.9 juta tahun yang lalu.
Dikatakan fosil yang ditemui di Georgia adalah suatu penemuan yang mengubah sejarah migrasi manusia. Kredit: Georgian Journal |
Penemuan tersebut telah menandakan bahawa spesis ini telah bermigrasi ke Asia sekitar 2 juta tahun dahulu, dan kemunculannya di Africa adalah jauh lebih awal. Melalui penemuan tersebut, migrasi homo erectus telah dipecahkan kepada dua iaitu Spesis ini mula bermigrasi dari Africa secara perlahan ke Timur Tengah, Eropah dan juga Asia sekitar satu hingga dua juta tahun dahulu. Kemudiannya, Populasi spesis ini telah berpecah kepada beberapa koloni yang berkembang secara berasingan di setiap kawasan.
Berdasarkan penemuan arkeologi, homo erectus tidak pernah berjaya bermigrasi ke Amerika atau Australia. Spesis ini hanya tiba di kepulauan Bali yang terpisah dengan kepulauan-kepulauan Timur Indonesia, New Guinea dan Australia disebabkan oleh lautan dalam. Manakala Sumatera, Java dan Bali pula adalah terhubung laluannya dengan Tanah Besar Asia Tenggara melalui laluan darat yang terhasil akibat surutnya air laut ketika zaman ais paleolitik. Walau bagaimanapun, tidak ada satupun dari koloni homo erectus yang menyumbang kepada perkembangan kewujudan homo sapien, yang asalnya muncul di Africa.
c) Teori Migrasi Homo Sapien
Berdasarkan penemuan genetik dan fosil, kategori manusia moden iaitu homo sapien purba yang pertama hanya muncul di Africa. Spesis ini dijangkakan muncul sekitar 200 000 dan 150 000 tahun dahulu, dan bermigrasi keluar Africa sekitar 125 000 dan 60 000 tahun yang lalu.
Migrasi homo sapien dicatatkan terbahagi kepada dua gelombang iaitu sekitar 80 000 dan 50 000 tahun lalu. Gelombang pertama berlaku sekitar 80 000 tahun lalu melalui timur Africa menuju ke pesisiran pantai timur Mediterranean iaitu Levant. Manakala gelombang kedua pula bermigrasi dari Africa ke Semenanjung Arab dan terus menuju ke bahagian timur menerusi pesisir pantai Selatan Asia sekitar 50 000 tahun dahulu.
Kredit: Phys.org |
Gelombang kedua ini cenderung untuk bergerak ke arah selatan sehingga mereka tiba di Asia Tenggara dan kemudiannya berpecah kepada dua cabang iaitu:
i. Cabang yang menuju ke arah Utara melalui pusat Asia, dan kemudiannya berpecah kepada dua cabang yang lain sekitar 40 000 tahun dahulu iaitu:
• menuju ke bahagian barat sehingga tiba di Eropah,
• menuju ke bahagian timur sehingga ke Siberia, dan kemudiannya tiba di benua Amerika sekitar 20, 000 tahun lalu.
ii. Cabang yang menuju ke arah Selatan sehingga berpecah kepada tiga cabang yang lain sekitar 50 000 tahun dahulu iaitu:
• cabang yang menuju ke New Guinea,
• menuju ke benua Australia,
• cabang yang meneruskan perjalanan ke Timur Asia.
Namun, cabang yang bermigrasi ke benua Australia menghadapi cabaran yang sukar disebabkan oleh terpisahnya benua tersebut daripada Asia Tenggara oleh lautan yang sangat luas.
Lanskap dahulu kala tidak sama seperti sekarang. Kredit: Rakan Titas |
Semasa tempoh terakhir zaman Ais, perbezaan jarak dari daratan New Guinea ke Australia tidaklah terlalu jauh disebabkan oleh sejumlah besar air laut telah membeku yang disebabkan oleh glasier. Walaupun pembekuan laut memendekkan jarak diantara kedua-dua kawasan tersebut, namun bagi pengembara tersebut untuk melintasi lautan terbuka seluas 50 batu masih amat mustahil.
Mereka memerlukan kapal yang cukup kuat untuk pelayaran tersebut, dan teknologi penciptaan perahu atau kapal ketika itu masi berada di luar pencapaian mereka. Tetapi, penemuan arkeologi yang merekodkan ketibaan pertama Aboriginal di pesisiran pantai barat laut Australia sekitar 60 000 tahun lalu menunjukkan wujudnya pertembungan dengan bangsa Macassans dan juga orang selatan kepulauan Indonesia.
Orang Asli Australia. Kredit: Brittannica |
Pertembungan tersebut juga merekodkan sepanjang dua ribu tahun terakhir dalam jangka masa tersebut, berlakunya pertukaran idea, teknologi dan juga kebudayaan. Ketika itu, berkemungkinan ketiga-tiga bangsa tersebut telah mempunyai teknologi perkapalan yang cukup canggih untuk membolehkan mereka merentasi lautan. Berkemungkinan juga wujudnya interaksi diantara salah satu bangsa tersebut dengan homo sapien Africa telah membantu mereka untuk melintasi lautan tersebut, kemudiannya tiba di Australia.
Adakah pendekatan ini penyelesaiannya?
Penemuan saintifik dan arkeologi sememangnya banyak menyumbangkan kepada penciptaan susur galur asal usul manusia dan proses migrasinya. Oleh itu, teori out of Africa merupakan satu-satunya pendekatan yang mampu menghuraikan mengenai proses penyebaran manusia ke seluruh dunia berdasarkan kepada ujian DNA berserta penemuan fosil dan artifak.
Namun, teori ini tidak diterima secara khususnya oleh sesetengah saintis dan pengkaji ekoran kelompangan kajian dalam membuktikan keturunan manusia yang lengkap dari segi anggaran tahun kewujudan dan pengkronologian manusia kuno. Lagipun, teori ini juga tidak dapat membuktikan pertindihan perbezaan spesis yang serupa terutamanya homo erectus yang wujud dalam zaman yang sama, tetapi di kawasan yang berbeza.
Inilah pertindihan zaman hayat spesis manusia. Kredit: Exploratorium |
Ketidakmampuan teori ini juga dalam membuktikan perbezaan ras yang sama terutamanya dalam spesis homo erectus menyebabkan wujudnya dua lagi teori yang berbeza dalam memahami fenomena ini. Teori-teori tersebut iaitu Multi-Regional Evolusion theory dan juga Out of Taiwan theory yang akan mengkhususkan migrasi manusia di beberapa benua tertentu.
- Mr. Lolento
- Mr. Lolento
Rujukan
Buku
Boivin N, Fuller DQ, & Dennell R, et al. 2013. Human Dispersal Across Diverse Enviroments of Asia. Quarternary International.
Johanson D. 2009. Origin of Modern Humans: Multiregional or Out Of Africa. American Institute of Biological Sciences.
John Urry. 2000. Metaphors: Sociology Beyond Societies, mobilities for the twenty-first century. Routledge.
Marean CW. 2015. An Evolutionary Anthropological Perspective on Modern Human origins. Annual review of Antrophology.
Martin Meredith. 2011. Born in Africa: The Quest for the Origin of Human Life. Public Affair
Quamrul Ashraf & Oded Galor. 2012. The Out Of Africa Hypothesis, Human Genetic Diversity, and Comparative Economic Development. Forschungs Institute: Germany
Renne Hetherington & Robert Reid. 2010. The Climate Connection: Climate Change and Modern Human Evolution. Cambridge University Press.
Richard G. Klein. 2009. Darwin and the Recent African Origin of Modern Humans. Stanford University.
Jurnal
Reyes Centeno H, Hubbe M & Hanihara T, et al. 2015. Testing Modern Human Out of Africa Dispersal Models and Implications for Modern Human Origins. Journal of Human Evolution 87:95-106.
Stringer C. 2014. Why We Are Not All Multiregionalists Now. Trends in Ecology & Evolution 29(5):248-251.
Laman Web
Archeology Info Glossary: An Online Glossary for Archeology and Anthroplogy. Dalam http://www.archeologyinfo.com/glossary.htm. Diakses pada 1 Oktober 2017.
Dr. Louis Leakey. 2011.The Leakey Foundation. Dalam http://www.leakeyfoundation.org/ Diakses pada 1 Oktober 2017.
Hominid Sites On The World Heritage List. Dalam: http://whc.unesco.org/sites/hominid.htm
Diakses pada 1 Oktober 2017.
Origins Becoming Human. Dalam: http://www.523humanorigin.com/004features/041eugene wong.pdf. Diakses pada 1 Oktober 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan