28.8.19

Malaysia ditubuhkan kerana Singapura?

Kredit: FreeMalaysiaToday

Sempena bulan kemerdekaan ini, menarik juga untuk kita kupas sejauh mana pembentukan Malaysia 1963 dipengaruhi oleh keadaan politik di Singapura.
 
Pada 27 Mei 1961, Tunku telah membuat pengumuman penting sebelum berlangsungnya Foreign Correspondents Association of Southeast Asia apabila beliau telah mencadangkan Persekutuan Malaysia yang menggabungkan Malaya, Singapura, Brunei, North Borneo (Sabah) dan Sarawak.[1] Antara faktor utama Tunku mencadangkan penubuhan Persekutuan Malaysia ini adalah untuk menangani ancaman daripada komunis kerana takut sentimen anti-colonial akan menyebakan masyarakat yang masih berada di bawah jajahan koloni British memberikan sokongan kepada komunis untuk mencapai kemerdekaan melalui cara yang radikal. Kebimbangan Tunku ini dapat dilihat melalui petikan tersebut;

We had successfully overcome the internal threat of Communism in Malaya, but we were only well aware of its insidious growth in neighbouring areas. I noticed particularly, with growing and grave concern, the increasing influence of Communism in the British territories of Singapore, Sabah, Brunei and Sarawak. The same pattern of Communist exploitation of anti-colonial feelings that we had experienced in Malaya was taking place in those areas. I felt that time was running out, and that the Communist manace had to be swiftly met, otherwise free Malaya would once again be in danger. Therefore, in May 1961 I first announced to achieve the independence they desired and at the same time put an end to colonialism in their part of the world.[2]

Pengumuman Tunku mengenai penglibatan Singapura dalam pembentukan Persekutuan Malaysia telah mengejutkan banyak pihak kerana sebelum ini Tunku sering menolak keinginan Singapura untuk bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu. 

Namun Tunku telah melihat ancaman yang akan dibawa oleh anasir komunis di Singapura kerana sebelum ini komunis berjaya dikekang di Singapura adalah disebabkan wujudnya kerjasama antara kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu dan kerajaan Singapura melalui perjanjian yang dikenali sebagai Singapore Internal Security Council yang mana perlembagaan Singapura tersebut akan berakhir pada tahun 1963. Berikut merupakan petikan yang diambil daripada ucapan Tunku semasa menjelaskan kepentingan Singapura menjadi ahli dalam Persekutuan Malaysia kepada pegawai publisiti Perikatan;
The most important point is that constitution of Singapore will come to an end in 1963 and it will be faced: firstly whether Singapore becomes independent; and, secondly, whether Singapore should merge with the Federation of Malaya. It is impossible to grant independence to Singapore because of the danger of it going communist, and if it goes communist it would be help of the communist powers try to overrun the whole of Malaya. We can fight them with the help of our British and American friends, but the inevitable result will be catastrophic, with suffering, misery and distress facing people of Malaya and perhaps disaster never before experienced in this country. The resultant losses would be so tremendous that the gains would not be noticed. Therefore to prevent this most unhappy and disastrous state of affairs occurring, the only cource open to us would be to accept Singapore as a member of the Federation of Malaysia.[3]
           
            Selain daripada ancaman komunis, cadangan penubuhan Malaysia ini juga dibuat untuk mengimbangi populasi penduduk di Tanah Melayu khususnya di antara orang Melayu dengan Orang Cina. Hal ini kerana populasi masyarakat Cina di Singapura sangat besar iaitu menyamai hampir 75 peratus penduduk Singapura. 

Singapura pernah darurat kerana komunis. Kredit: Must Share News
Sekiranya masyarakat Cina di Singapura bergabung dengan masyarakat Cina di Tanah Melayu, maka bilangan masyarakat Cina pasti akan melebihi populasi Orang Melayu. Secara tidak langsung, perkara ini dilihat dapat mengugat kedudukan politik orang Melayu. 

Bagi menyelesaikan masalah ini, Tunku telah mencadangkan penyertaan Brunei, Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan Malaysia kerana masyarakat peribumi yang mendiami ketiga-tiga wilayah itu serumpun dengan masyarakat Melayu di Tanah Melayu. Dengan pertambahan penduduk peribumi daripada Brunei, Sabah dan Sarawak ini telah menyebabkan Orang Melayu bersama dengan penduduk peribumi Brunei, Sabah dan Sarawak menjadi kelompok terbesar selepas pembentukan Malaysia mengatasi orang Cina.[4]
        

PERKEMBANGAN POLITIK DI SINGAPURA

 

Perubahan sikap kerajaan Tanah Melayu terhadap kemasukan Singapura ke dalam Persekutuan Tanah Melayu merupakan titik tolak yang penting dalam usaha menubuhkan Malaysia. Perubahan sikap ini sebahagian besarnya didorong oleh perkembangan politik di Singapura yang menunjukkan puak berhaluan kiri semakin berpengaruh. Puak kiri kemudiannya menyusup masuk ke dalam kerajaan PAP yang memerintah sejak tahun 1959 dan membentuk satu kumpulan berhaluan kiri. 

Golongan berhaluan kiri ini tidak bersetuju cadangan untuk bercantum dengan Tanah Melayu. Mereka melihat cadangan itu sebagai halangan bagi menubuhkan sebuah kerajaan yang berhaluan kiri di Singapura kerana semua perkara berkaitan keselamatan dalam negeri akan dikawal sepenuhnya oleh Kuala Lumpur. 
 
Kredit: Illuminasi.com
Sebagaimana yang dinyatakan sebelumnya, Kerajaan Tanah Melayu terutamanya Tunku Abdul Rahman sangat bimbang dengan dengan perkembangan itu dan jika keadaan tersebut tidak dikawal, besar kemungkinan bahawa puak berhaluan kiri dapat berkuasa di Singapura. Keadaan ini boleh diburukkan lagi apabila berlaku rusuhan dalam kalangan pelajar dan mogok oleh pihak pekerja kerana anasir-anasir komunis berpeluang mengambil kesempatan memperluaskan pengaruh mereka.[5]


            Pada masa itu, kerajaan British telah merancang untuk menggubal perlembagaan baru Singapura pada tahun 1963 bagi membolehkan Singapura menjadi sebuah negara merdeka dan diikuti dengan satu pilihan raya yang akan diadakan kemudian. Berasaskan perkembangan semasa, jika pilihan raya diadakan besar kemungkinan puak berhaluan kiri dapat mengalahkan PAP dan berkuasa di Singapura. Keadaan itu dijangka merumitkan Tanah Melayu yang mempunyai hubungan rapat dengan Singapura terutama dari segi politik dan ekonomi. 
 
Chin Peng dan pejabat Parti Komunis Malaya. Kredit: badmoonrising.wordpress
Tunku berpendapat jika wujud sebuah kerajaan berhaluan kiri di Singapura, gerakan komunis di Tanah Melayu akan mendapat sokongan dari Singapura dan perkembangan ini sangat membahayakan keselamatan Tanah Melayu. Tunku menegaskan jika Tanah Melayu membiarkan Singapura bersendirian dan mencapai kemerdekaan di luar Tanah Melayu bererti membuka pintu kepada anasir-anasir komunis bertapak di Singapura. Kebimbangan Tunku dibayangkan dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 16 Oktober 1963 semasa meminta sokongan terhadap cadangan menubuhkan Malaysia. Antara lain, Tunku menyatakan:[6]

While Singapore is under the British, we feel that there is no threat of open action by the Communists, which might endanger the peace, and security of the Federation, but with an independent Singapore, anything could happen…”[7]
            Keadaan politik di Singapura semakin bertambah buruk setelah meletus krisis dalam PAP antara pucuk pimpinan parti dengan puak berhaluan kiri. Kemuncak krisis ini membawa kepada kekalahan PAP dalam dua pilihan raya kecil yang diadakan. 

 KISAH PILIHANRAYA


Dalam pilihan raya kecil bagi kawasan Hong Lim pada 21 April 1961, calon PAP, Jek Yuen Thong dikalahkan oleh Ong Eng Guan dengan majoriti sebanyak 4927 undi. Beliau bertanding sebagai calon Bebas mendapat 7747 undi berbanding dengan 2820 undi yang didapati oleh calon PAP.[8] Ong Eng Guan ialah bekas Datuk Bandar Singapura dan Menteri Pembangunan Negara dalam kerajaan PAP. Setelah dipecat daripada PAP, beliau bertindak mengosongkan kerusi bagi kawasan itu dan bertanding semula untuk menguji pengaruhnya. 

PAP dulu-dulu. Kredit: Battle Singapore.wordpress

Kemenangan besar Ong Eng Guan dalam pilihan raya ini memperlihatkan sokongan para pengundi kepada PAP semakin merosot. Kejayaan ini mendorong beliau menubuhkan United People’s Party pada bulan Jun 1961 sebagai saingan kepada PAP.[9] Sebenarnya ancaman yang dihadapi oleh kerajaan PAP bukanlah datang daripada kemenangan Ong Eng Guan, tetapi daripada puak berhaluan kiri PAP yang tidak lama kemudian berpecah dan membentuk sebuah parti lain yang dinamakan Barisan Sosialis. Oleh itu, kemungkinan kerajaan PAP akan digantikan oleh sebuah parti lain yang mudah diresapi oleh anasir komunis sememangnya wujud.[10]           

            Selepas pilihan raya kecil kawasan Hong Lim, PAP berhadapan dengan satu lagi pilihan raya kecil, iaitu bagi kawasan Anson. Pilihan raya kecil ini terpaksa diadakan berikutan kematian wakil rakyat PAP bagi kawasan tersebut, Baharuddin Bin Mohd Ariff. Kerajaan PAP mengharapkan kemenangan dalam pilihan raya kecil ini bagi memulihkan keyakinan para pengundi terhadap kepimpinan parti. 

Dalam keadaan genting ini, puak berhaluan kiri dalam PAP menarik balik sokongan mereka kepada parti dengan memberi sokongan kepada calon Worker’s Party, David Marshall. David Marshall berjaya memenangi pilihan raya kecil itu dengan majoriti hanya 546 undi.[11] Kekalahan calon PAP, Mahmud Bin Awang bukan sahaja mengejutkan Lee Kuan Yew tetapi juga Tunku Abdul Rahman. Dalam pilihan raya kecil Anson, jumlah undi yang diperoleh calon PAP merosot dengan banyaknya iaitu daripada 60.7 peratus pada tahun 1959 kepada hanya 36.7 peratus pada tahun 1961.[12]

David Marshall, wakil Worker's Party. Kredit: MINDEF Singapore

 
            Keputusan kedua-dua pilihan raya kecil ini menguatkan lagi keazaman Tunku untuk meneruskan rancangan menubuhkan Malaysia. Jika Singapura dibawa masuk ke dalam Persekutuan Malaysia, soal keselamatan dalam negeri di bawah tanggungjawab Kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur. Oleh itu, ancaman daripada puak kiri dapat dikawal sepenuhnya. Ini memberi peluang kepada PAP pimpinan Lee Kuan Yew mengukuhkan semula kedudukannya dan terus berkuasa di Singapura. 
 
Sebaliknya, jika usaha itu tidak dilakukan, Tunku bimbang Singapura akan merdeka sebagai sebuah negara pro-komunis dan menjadi sebuah ‘negara Cuba kedua’ di Asia Tenggara. Tunku Cuma mempunyai dua pilihan iaitu membiarkan Singapura merdeka secara bersendirian atau bercantum dengan Tanah Melayu. Pilihan pertama bermakna Tanah Melayu perlu bersedia menghadapi ancaman baru daripada pihak komunis di seberang Tambak Johor kerana mereka kemungkinan besar akan berkuasa di Singapura. Keadaan ini tentu sahaja tidak dikehendaki bukan sahaja oleh Tanah Melayu,, tetapi juga negara-negara lain yang berdekatan. Oleh itu, pilihan kedua dianggap lebih selamat, iaitu menerima kemasukan Singapura sebagai anggota baru dalam Persekutuan Tanah Melayu.[13]

NEGARA SOSIALIS ASIA


       Sebenarnya kerajaan PAP telah lama menyimpan hasrat untuk bercantum dengan Persekutuan Tanah Melayu. Dalam ucapan dasar Yang di-Pertuan Negara Singapura semasa merasmikan persidangan pertama Majlis Undangan Singapura pada tahun 1959, kerajaan PAP mengisytiharkan pendirian mereka untuk ‘menamatkan penjajahan dan mewujudkan sebuah negara sosialis Malaya yang merdeka, bukan komunis dan bersifat demokratik.’
 
Singapura dulu-dulu. Kredit: The Straits Time
 Pandangan ini mewakili keinginan golongan sederhana dalam kerajaan PAP yang mahu memperluas dan mempelbagaikan ekonomi serta mencapai kemerdekaan Singapura melalui percantuman dengan Tanah Melayu. Program ekonomi yang dirangka oleh Menteri Kewangan Singapura, Dr. Goh Keng Swee bertujuan untuk mewujudkan pasaran bersama dengan Tanah Melayu dan menggalakkan perkembangan perindustrian dengan kerjasama sektor swasta dan jika perlu bantuan modal daripada luar.[14]
            Selepas mendapat mandat dalam pilihan raya pada tahun 1959, kerajaan PAP berikrar untuk menjayakan hasrat mereka bercantum dengan Tanah Melayu dalam tempoh perkhidmatan mereka. Yang di-Pertuan Negara Singapura dalam ucapan dasarnya menegaskan bahawa ‘masa depan Singapura bergantung sepenuhnya ke atas percantuman dengan Tanah Melayu sebagai sebuah wilayah dalam negara yang merdeka’. 

Seiring dengan itu, beberapa orang pemimpin PAP turut melahirkan hasrat yang sama. Mereka berpendapat Singapura tidak mampu bertahan secara bersendirian, tanpa bergantung pada Tanah Melayu melalui percantuman. Kerajaan PAP menolak cadangan supaya Singapura merdeka secara bersendirian, tanpa menyertai Malaysia. Menteri Kebudayaan Singapura, S. Rajaratnam menyatakan bahawa “tidak ada sesiapa pun akan percaya dengan kedudukan Singapura yang bersendirian dan terpencil mampu merdeka dengan sendiri.”[15]

Goh Keng Swee tengah pegang kapsul masa pada 1970. Kredit: The Straits Time

            Dalam sebuah risalah rasmi kerajaan yang diterbitkan pada tahun 1960, Goh Keng Swee menekankan bahawa sebarang perubahan dalam ekonomi Singapura hanya akan berjaya jika Singapura dan Tanah Melayu bersatu dalam satu ekonomi. Pandangan ini disokong oleh Lee Kuan Yew yang menegaskan bahawa ‘tanpa asas ekonomi Persekutuan Tanah Melayu, Singapura tidak dapat bertahan lama.’ Pandangan ini merumuskan bahawa antara alasan utama yang mendorong Singapura bercantum dengan Tanah Melayu adalah keinginan untuk mewujudkan sebuah asas ekonomi yang kukuh.[16]

PENYINGKIRAN SINGAPURA 1965

 

Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak telah bergabung sebagai satu entiti politik yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963. Cadangan pergabungan ini telah dibuat oleh Tunku pada 27 Mei 1961 iaitu sebelum berlangsungnya Foreign Correspondents Association of Southeast Asia di Singapura. Daripada perancangan awal, hanya wilayah Brunei sahaja yang telah menarik diri daripada pembentukan Persekutuan Malaysia. Namun, gabungan ini tidak mampu bertahan lama apabila Singapura terpaksa dikeluarkan daripada Malaysia pada tahun 1965.

Lee Kuan Yew waktu muda. Kredit: Mothership.sg

            Pada 9 Ogos 1965 telah menyaksikan peristiwa bersejarah dalam Malaysia apabila Tunku telah mengumumkan pemisahan Singapura daripada Persekutuan Malaysia. Tunku melihat ancaman yang dibawa oleh Lee Kuan Yew dan People Action Party(PAP) yang akan membawa pergolakan politik dalam Malaysia. Lee Kuan Yew dengan konsep Malaysian Malaysia dilihat sebagai satu cubaan untuk menghapus ketuanan Melayu dengan pemberian hak sama rata kepada seluruh rakyat Malaysia. Berikut merupakan konteks bagi konsep Malaysian Malay Lee Kuan Yew seperti berikut;

“A Malaysian Malaysia means that the state is not identified with a supremacy, well-being and interests of any one particular community or race. A Malaysian Malaysia is the antithesis of a Malay Malaysia, a Chinese Malaysia, a Dayak Malaysia, an Indian Malaysia or Kadazan Malaysia and soon. The special and legimate interests of different communities must be secured and promoted within the framework of the collective rights, interests, and responbilities of all races.”[23]

            Konsep Malaysian Malaysia yang diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew ini dilihat mampu mengugat kedudukan politik orang Malayu. Hal ini kerana populasi orang Melayu hanyalah sekitar 39 peratus daripada berbanding 51 peratus bagi orang bukan Melayu dan sekiranya bukan orang Melayu menyokong konsep ini maka perkara ini akan melayakkan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Malaysia. 

Malah, Lee Kuan Yew turut mencabar ketuanan Melayu apabila beliau mengatakan bahawa orang Melayu bukan penduduk asal Tanah Melayu kerana kedatangan orang Melayu ke Tanah Melayu masih tidak melebihi 1,000 tahun.[24] Perkara ini telah menyebabkan banyak veteran UMNO mengarahkan penangkapan Lee Kuan Yew. Ancaman politik yang dibuat oleh Lee Kuan Yew ini boleh mengganggu ketenteraman di Malaysia. Pada 7 Ogos 1965, Tunku telah mengambil tindakan drastik untuk memisahkan Singapura apabila beliau dan Lee Kuan Yew telah menandatangi Perjanjian Pemisahan Singapura dan Singapura telah berpisah daripada Persekutuan Malaysia secara rasminya pada 9 Ogos 1965.

KESIMPULAN

 

Melalui analisis yang telah dilakukan, dapatlah disimpulkan bahawa penubuhan Malaysia pada tahun 1963 turut dipengaruhi oleh pergolakan politik yang berlaku di Singapura. Hal ini kerana Tunku Abdul Rahman selaku Perdana Menteri pertama melihat gerakan kiri ini yang menular di Singapura tersebut bakal menjadi ancaman kepada Tanah Melayu khususnya dalam penyebaran ideologi komunis yang sememangnya sudah bertapak di Tanah Melayu sejak pergerakan Parti Komunis Malaya(PKM) lagi. 

Jika perkara ini tidak dibendung secara keseluruhannya, hal ini akan mengancam kedudukan Tunku Abdul Rahman serta bakal mengancam ketenteraman negara yang telah berjaya dicapai olehnya. Oleh itu, pembentukan Malaysia 1963 bersama Singapura ini dilihat sebagai salah satu alternatif bagi mematahkan ideologi komunis ini daripada terus menular serta membantu memerdekakan negara Singapura daripada pihak British.

            Selain itu, turut tidak dapat dinafikan bahawa ekoran daripada penggabungan bersama Singapura bagi membentuk persekutuan Malaysia ini bakal mengancam masyarakat Melayu kerana pertambahan populasi komuniti Cina yang mendadak. Oleh kerana itu, Tunku Abdul Rahman turut bertindak mempelawa negeri Borneo iaitu Sabah, Sarawak, dan Brunei bagi menyertai Malaysia supaya kedudukan masyarakat Melayu dan bumiputera dapat mengimbangi populasi masyarakat Cina selain daripada membantu memerdekakan negeri Borneo tersebut dari cengkaman British dan berstatus berkerajaan sendiri. 

Melalui hal ini, dapat kita telusuri bahawa penggabungan Singapura bagi membentuk Malaysia memperlihatkan impak positif dan negara yang melanda dan akhirnya sememangnya berlaku apabila tindakan Lee Kuan Yew yang semakin ghairah ingin mendapatkan jawatan Perdana Menteri Malaysia sehingga negara Singapura terpaksa disingkirkan daripada Malaysia pada tahun 1965.

- K.A- 



[4] James P. Ongkili, op. cit., hlm. 154.
[6] Ibid.
[11] Suryanarayanan, V., op. cit., hlm. 134.
[14] Ruslan Zainuddin, op. cit., hlm. 667.
[15] Ibid.
[16] Turbull, C. M., op. cit., hlm. 267.
[17] Ruslan Zainuddin, op. cit., hlm. 671.
[18] Mohd Noor Abdullah, op. cit., hlm. 36.
[19] Ruslan Zainuddin, op. cit., hlm. 671.
[21] Ibid.
[22] Ibid., hlm. 341.
[24] Mohamed Nordin Sopiee, op. cit., hlm. 201.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...