21.8.19

Pasti Anda tidak Plagiat? Baca ini


PENGENALAN


Dari tahap pelajar sehinggalah ke tahap professor, istilah plagiarisme bukanlah perkara yang asing. Hal ini kerana, plagiarisme telah menjadi budaya dalam kalangan penuntut ilmu yang telah mengetepikan prinsip etika dalam melakukan sebarang tugasan berbentuk tulisan dan bukan tulisan. Tambahan pula, kemudahan dalam mengakses maklumat pada zaman kini yang serba canggih telah memperluaskan lagi kegiatan salah laku plagiarisme.

Kredit: Compilatio


Asal-usul perkataan plagiarisme ialah dari Bahasa Latin iaitu kata pangkal plagiarus yang bermaksud penculik (Saunders, 1993).[1] Kamus Dewan Edisi Keempat pula menyatakan plagiarisme adalah perbuatan yang mencedok kata-kata, idea, hasil penulisan dan sebagainya daripada orang lain lalu menggunakannya sebagai karyanya sendiri.[2] 

Faktor-faktor berlakunya plagiat menurut beberapa orang pengkaji ialah apabila tiadanya sikap kejujuran, hormat-menghormati dan ikhlas dalam melakukan sesuatu tugasan. Terdapat pelbagai jenis plagiarisme dan telah disenaraikan beberapa daripadanya dengan contoh. Faktor-faktor mengapa salahlaku akademik ini harus dihindarkan turut disertakan bagi mengelakkan aktiviti plagiarisme ini terus berleluasa dalam sebarang bidang ilmu.

     

JENIS-JENIS PLAGIARISME

Kesalahan plagiarisme yang popular dan sering diamalkan oleh penuntut ilmu mahupun tenaga pengajar terbahagi kepada beberapa jenis iaitu plagiarisme penuh, separa/ sebahagian/ paraphrasing, silang bahasa, unwitting, ghost writing dan mosaic / cut and paste.


       Plagiarisme penuh


Plagiarisme penuh merupakan kesalahan akademik yang paling berat di antara jenis-jenisnya. Hal ini kerana, penulis dengan sengaja mencuri keseluruhan hasil karya orang lain untuk dijadikan sebagai hasil karyanya sendiri. Melalui cara ini, penulis hanya menggantikan nama penulis asal dengan nama penulis sendiri. Sedikit perubahan turut dilakukan terhadap tajuk artikel, abstrak, kata-kata kunci tertentu, sub-tajuk artikel dan ayat tertentu supaya berbeza dengan artikel asal. 

    Plagiarisme penuh ke atas karya Samuel Eliot Morison


Sumber :Internet

Jika diimbas dengan teliti seperti dalam jadual di atas, dapat diperhatikan idea dan ayat penulis asal iaitu Samuel Eliot Morison hampir keseluruhannya dicedok atau diplagiat oleh James Mackay. Perbandingan ini menunjukkan bahawa idea, kata-kata, susunan ayat Mackay bukan dari hasil pemikirannya sendiri.[3] Malah, beliau juga tidak meletakkan nota kaki dan rujukan sebagai kredit terhadap Morison.

Plagiarisme separa/ sebahagian/ paraphrasing

Bagi jenis plagiarisme separa, penulis hanya mencuri atau mencedok sebahagian hasil karya orang lain untuk ditambahkan ke dalam hasil karya sendiri. Pengamal plagiarisme separa mengambil frasa, pernyataan, landasan teori, sampel, kaedah analisis, perbincangan, dan kesimpulan tertentu daripada hasil karya orang lain tanpa menyebut dari manakah sumber rujukan asal.[4]


         Perbandingan plagiarisme separa dengan bukan plagiarisme

 



Berdasarkan jadual di atas, di bahagian parafrasa plagiarisme, pelajar hanya menyalin kata-kata dan merumuskan idea-idea utama penulis asal. Penulis asal juga tidak dikreditkan dan diletakkan ke dalam rujukan bibliografi. Pembaca tidak akan menyedari bahawa idea ini berasal daripada sumber yang lain kerana idea pelajar tersebut kelihatan seolah-olah seperti ideanya sendiri. Bagi bahagian bukan plagiarisme pula ialah contoh ini telah diolah semula dengan betul kerana penulis asal telah dinamakan pada awal petikan ini. Rujukan penuh bagi petikan juga disertakan.[5]

Plagiarisme silang bahasa

Plagiarisme silang bahasa bermaksud penulis menterjemahkan bahan penulisan yang berbahasa asing ke dalam bahasa ibundanya sendiri.[6] Kemudian, penulis akan menjadikan hasil terjemahan tersebut sebagai hasil penulisannya tanpa menyebut sumber aslinya.

Unwitting Plagiarism

Unwitting Plagiarism ialah apabila penyunting mendapati penulis telah dengan tidak sengaja mengambil kerja orang lain tanpa meletakkan rujukan seperti yang sepatutnya.[7] Kemungkinan penulis tidak mengetahui peraturan, kod etika ataupun tidak peka. Kesalahan kali pertama boleh dimaafkan kerana plagiarisme jenis ini sering berlaku semasa awal penulisan ilmiah yang dilakukan oleh pelajar tahun pertama yang masih belum mahir dalam garis panduan dan format penulisan akademik.[8] Pensyarah mahupun tutor yang menyedari kesalahan seperti ini akan mempertimbangkan kesalahan tersebut dengan menegur pelajar tersebut bagi mengelakkan kecurangan akademik.

Plagiarisme jenis ghost writing

Ghost writing ialah perbuatan meniru hasil kerja penulis lain tanpa kebenaran dan menyatakan hasil kerja tersebut adalah hasil kerja aslinya. Selain itu, ghost writing mencuri atau mengambil sebarang bentuk penulisan yang tidak diterbitkan daripada laman web.[9] Mereka juga menyuruh dan mengupah orang lain menulis bagi pihak mereka dan kemudiannya mempamerkan penulisan tersebut sebagai hasil tulisannya sendiri.


Plagiarisme jenis mosaic / cut and paste

Menurut Lars R. Jones, mosaic atau cut and paste plagiarism  ialah perbuatan yang sukar dan rumit untuk dikenalpasti dari mana sumber yang diplagiatnya. Hal ini demikian kerana pelajar atau penulis sengaja mencantumkan ayat-ayat, frasa, idea dan sebagainya yang merupakan milik penulis asal dari dua atau lebih web yang berbeza dalam penulisannya. Rujukan palsu juga dilakukan bagi menyembunyikan sumber-sumber yang diplagiatnya.[10]  



[1] Saunders, E. J. 1993, Confronting Academic Dishonesty, Journal of Social Work Education, 29(2): hlm. 224-31.
[2] Kamus Dewan Edisi Keempat, Dlm. http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=plagiat, Diakses pada 2 April 2016.
[3] Elizabeth Shown Mills, Quick Lessons 15: Plagiarism-Five ”Copy Wrongs” of Historical Writing, Dlm. https://www.evidenceexplained.com/content/quicklesson1plagiarismfive-copywrongs-historical-writing, Diakses pada 3 April 2016.
[4] Paraphrasing Plagiarisme, Dlm. https://www.indiana.edu/~istd/example1paraphrasing.html, Diakses pada 3 April 2016.
[5] Ibid.
[6] Picorari D, 2001, Academic Writing and Plagiarism, London: Continuum International Publishing Group, hlm. 11.
[7] Rowland, 1998, A Guide to Learning Independently, Melbourne: Addison Wesley Logman, hlm. 57.
[8] Ibid.
[9] Ibid., hlm. 63.
[10] Lars R. Jones, Ph.D. 2011, Academic Integrity & Academic Dishonesty: A Handbook About Cheating & Plagiarism Revised & Expanded Edition, Melbourne: Florida Institute of Technology, hlm. 12.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa jadi dengan Eropah ketika Black Plague?

    Pengenalan Eropah sebelum memasuki pertengahan abad ke-14 hanya diserang oleh penyakit-penyakit biasa yang tidak memudaratkan penduduk d...